PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia mengumumkan pelancaran program pengenalan kemampanan mandatori untuk lembaga pengarah Syarikat Awam Tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia.
Program Akreditasi Mandatori (MAP) Bahagian II: Leading for Impact (LIP) merupakan lanjutan kepada MAP sedia ada, yang kini dikenali sebagai MAP Bahagian I di bawah Kehendak Penyenaraian Pasaran Utama dan Pasaran ACE Bursa Malaysia (secara kolektif, LR).
Fokus utama MAP adalah pada tadbir urus korporat, termasuk peranan, tugas dan liabiliti pengarah serta tanggungjawab lain di bawah LR.
Pembangunan LIP adalah selaras dengan Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat SC 2021-2023, yang bertujuan untuk mengukuhkan keupayaan lembaga pengarah dalam menangani aspek kemampanan.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, adalah penting bagi lembaga pengarah untuk terus mengikuti perkembangan berkaitan kemampanan supaya mereka boleh mengurus risiko kemampanan dengan berkesan sambil memanfaatkan peluang baharu.
“Ini amat penting terutamanya apabila pihak berkepentingan menjadi semakin prihatin terhadap isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“LIP terus menekankan tumpuan SC untuk menyokong kepimpinan PLC yang berkesan dan mementingkan kemampanan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pihaknya percaya pengenalan LIP untuk pengarah PLC adalah tepat pada masanya, kerana ia merupakan langkah penting ke arah mengukuhkan komitmen terhadap amalan ESG di kalangan lembaga pengarah.
“Bursa Malaysia akan menyediakan sokongan dan sumber yang diperlukan untuk membantu pengarah PLC memupuk pertumbuhan mampan dalam organisasi mereka, bagi memastikan ada nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan,” ujarnya.
LR telah dipinda untuk memerlukan semua pengarah yang dilantik buat kali pertama di PLC Pasaran Utama dan ACE Bursa Malaysia serta pengarah pemohon penyenaraian atau pemohon pemindahan untuk menghadiri LIP.
Keperluan ini akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2023.
Pengarah kali pertama dan pengarah pemohon penyenaraian dan pemohon pemindahan perlu melengkapkan program dalam tempoh 18 bulan dari tarikh pelantikan pengarah atau penerimaan masuk pemohon.
Pengarah sedia ada PLC di Pasaran Utama dan ACE Bursa Malaysia pula harus melengkapkan LIP dalam tempoh 24 bulan dari tarikh berkuat kuasa.
Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) telah dilantik sebagai rakan kongsi pengetahuan untuk menjalankan LIP, selaras dengan mandat mereka untuk meningkatkan keberkesanan keseluruhan lembaga pengarah dan mempromosikan kecemerlangan tadbir urus yang dipacu kemampanan.
ICDM juga merupakan rakan kongsi pengetahuan untuk MAP Bahagian I.
LIP telah disusun dengan teliti untuk memberi tumpuan kepada pengetahuan asas dan pertimbangan utama berkaitan kemampanan, termasuk soalan yang perlu ditujukan oleh lembaga pengarah kepada pihak pengurusan dalam usaha memastikan pengawasan yang lebih teguh dan berkesan terhadap risiko dan peluang kemampanan syarikat.
LIP juga akan menyediakan para pengarah dengan platform untuk melibatkan diri dan belajar daripada para pengarah lain. – UTUSAN