APABILA Eleuthera Abus mengangkat tangan kanan, mukanya berkerut menahan sakit ekoran patah yang dialami sejak enam bulan lalu akibat terjatuh.
“Apa yang saya mampu lakukan hanyalah mengurangkan kesakitannya. Dia benar-benar memerlukan rawatan wajar, namun keluarga enggan membawanya ke hospital.
“Bukan kerana anak-anak kejam, tetapi mereka miskin dan tidak mampu,” kata Alena Yap, seorang doktor berusia 28 tahun yang memeriksa wanita warga emas itu.
Pusat kesihatan terdekat terletak ratusan kilometer merentasi lautan dari pulau kecil Diit, iaitu tempat Eleuthera dan keluarganya menetap.
Pulau Diit merupakan satu daripada gugusan pulau yang membentuk kepulauan Agutaya di tengah Laut Sulu, Filipina.
Bagi 13,000 penghuni di Agutaya, Alena merupakan satu-satunya pakar perubatan yang ada untuk membantu mereka.
SAHUT CABARAN
Tidak seperti kebanyakan rakannya yang melebarkan sayap kerjaya di Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Britain, Alena secara sukarela menyertai program kerajaan ke pulau Diit yang merupakan satu daripada kawasan termiskin di Filipina.
Untuk sampai ke pulau Agutaya, perjalanan mengambil masa selama dua hari setengah dari Manila dengan menggunakan penerbangan, diikuti 15 jam menaiki feri dan mendayung kano.
Alena tiba di Agutaya pada Februari 2020 ketika berusia 26 tahun.
“Sewaktu mula tiba di sini, penduduk menyangka saya pelajar sekolah tinggi dan tidak percaya saya merupakan doktor.
“Cabaran sebenarnya tiba apabila pandemik Covid-19 yang menyebabkan seluruh Filipina dikenakan perintah berkurung dan pulau ini terpinggir sepenuhnya.
“Tahun pertama tidaklah begitu mencabar, namun masuk 2021, rutin saya mula berubah apabila gelombang jangkitan menular di Agutaya dan sukar untuk meminta mereka kuarantin,” ujarnya.
Alena menceritakan, ada penduduk mahu membunuhnya hanya kerana mereka diminta kuarantin bagi mengekang jangkitan.
Katanya, penduduk Agutaya tidak mahu dikuarantin kerana kehidupan yang terlalu miskin, jika tidak keluar menangkap ikan atau bertani, mereka akan berlapar pada hari itu.
MENANGIS
Alena memberitahu, dia pernah berasa tidak mampu lakukan apa-apa dan hanya menangis.
Bagi menghilangkan rasa sunyi, Alena mula membela anjing dan melukis sebagai terapi.
TOLAK VAKSIN
Selain itu, Alena juga berdepan cabaran meyakinkan penduduk Agutaya supaya menerima suntikan vaksin Covid-19.
Jelasnya, dia dan pasukan perubatan perlu menempuh perjalanan selama berjam-jam dengan menggunakan bot untuk tiba ke rumah penduduk dan memberikan suntikan vaksin.
“Tetapi ramai menolaknya kerana percaya pada maklumat yang tersebar dalam media sosial kononnya vaksin boleh membunuh mereka berbanding virus Covid-19,” katanya.
IKAN MASIN
Alena memberitahu, dia pada mulanya menyangka penduduk di pulau itu mengamalkan pemakanan sihat memandangkan sumber yang diperoleh adalah segar.
Namun, sangkaannya meleset apabila mereka gemar makan ikan masin yang menyebabkan tekanan darah naik, selain menghidap diabetes kerana sering minum air berkarbonat berikutan sukar mendapatkan bekalan air bersih. – UTUSAN