Satu tan metrik ayam dijual RM6 sekilogram laris - Utusan Malaysia

Satu tan metrik ayam dijual RM6 sekilogram laris

PENGUNJUNG mengambil kesempatan membeli ayam yang dijual pada harga RM6 sekilogram sempena Program Jom Masuk Kampung di Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak satu tan metrik ayam yang dijual pada harga  RM6 sekilogram sempena Program Jom Masuk Kampung di Pulau Manis, Serada di sini habis terjual dalam tempoh dua jam.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta komuniti Pulau Manis itu dikunjungi lebih 2,000 penduduk setempat yang mendapatkan pelbagai barangan keperluan dengan harga yang murah.

Penyelaras program, Mohd. Rafi Kori berkata, jualan murah itu adalah sebahagian aktiviti menarik yang diadakan sepanjang program tiga hari dua malam itu berlangsung di kampung tersebut.

“Kita ada buat hebahan mengenai jualan ini melalui media sosial dan masyarakat setempat agar mereka tidak melepaskan peluang untuk mendapat lebih banyak penjimatan hari ini.

“Secara tidak langsung, dapat mengurangkan beban kewangan penduduk terutama menjelang sambutan hari raya Aidiladha tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di tapak program hari ini.

Seorang suri rumah, Adillah Aisyah Abd. Aziz, 43, berkata, dia datang ke program tersebut bersama dua kakaknya yang tinggal berdekatan untuk membeli ayam segar tersebut setelah diberitahu ia dijual pada harga hanya RM6 setiap kg.

“Mana nak dapat harga yang terlalu murah macam ni, sebab biasanya saya beli pun RM9 atau RM10 sekilogram di pasar basah. 

“Sebab tu, kami datang ke sini tak mahu terlepas peluang keemasan. Lagipun, banyak lagi yang murah contohnya mangga hanya RM10 untuk lima kilogram,” katanya yang tinggal di Kampung Serada.

Seorang kakitangan swasta, Khadijah Hanafi, 49 pula berkata, dia datang ke program tersebut kerana mahu membeli barangan keperluan dapur seperti telur, beras, ikan dan ayam memandangkan  harga diskaun ditawarkan 20 peratus berbanding harga pasaran semasa.

“Alhamdulillah, bila ada program jualan murah seperti ini, saya memang pergi jika lokasinya berdekatan sebab memang banyak yang kita boleh jimat dengan pembelian yang terancang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya