PERTUBUHAN amal Islam, Sahabat Amal Care (SAC) bakal mengagihkan lebih 1,000 lembu dan kambing korban kepada golongan asnaf fakir dan miskin di seluruh negara sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Kesemua haiwan yang terlibat dengan ibadah korban tersebut diselenggara sepenuhnya oleh kakitangan Ladang Ternak Ummah (LTU) yang terletak di Sungai Yu, Kuala Selangor.
Menurut Penaung SAC, Ustazah Asma Harun, projek yang dilaksanakan LTU tersebut merupakan program kali ketiga selepas penubuhannya pada Oktober 2020.
Asma berkata, proses penagihan daging korban yang disempurnakan di LTU akan dijalankan selama tiga hari di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Semua urusan penyembelihan, melapah dan bungkusan daging korban akan dilakukan di ladang ini.
“Kemudian kesemua daging korban akan digerakkan melalui 10 kontena sejuk beku untuk diagih di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ustazah Asma yang juga pendakwah bebas yang popular dalam kalangan pengguna media sosial berkata, sebanyak 5,000 golongan asnaf fakir dan miskin dijangka menerima agihan daging berkenaan.
Jelas beliau, pemberian agihan daging itu hasil daripada infak orang ramai yang melaksanakan ibadah korban melalui SAC.
Beliau menambah, pendaftaran ibadah korban bersama pihaknya pada tahun ini menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu.
“Kita tahu ekonomi mencabar dan sangat perlahan, malah orang ramai pula ketika ini dilihat lebih cenderung melakukan ibadah korban di luar negara kerana harganya jauh lebih rendah.
“Namun kami tetap perjuangkan pelaksanaan korban dalam negara kerana jumlah asnaf fakir dan miskin di negara ini semakin meningkat,” ujarnya.
Mengimbas kronologi penubuhan LTU dan program korban SAC tersebut beliau berkata, pada dasarnya ia bertujuan mengeratkan ukhuwah sesama sahabat dalam melakukan gerak kerja dakwah dan kemanusiaan.
“Hasil gerak kerja ibadah korban ini, untuk tahun pertama jumlah haiwan korban hanya melibatkan puluhan ternakan sahaja.
“Tempahan haiwan ternakan untuk ibadah korban mula meningkat. Ia melibatkan tempahan lembu kira-kira 700 ekor dan kambing biri-biri lebih 1,000 ekor,”ujarnya bukan mudah untuk mewujudkan prasarana seperti yang ada di LTU hari ini.
Mengulas mengenai fokus utama LTU, Asma berkata, isu penyembelihan haiwan ternakan di luar negara hingga menjadi gempar di negara ini menimbulkan idea pihaknya untuk mewujudkan ladang ternakan yang patuh syariah sepenuhnya.
Kata beliau yang juga individu penting dalam sektor halal satu waktu dahulu, inisiatif ini harus dilakukan bagi memastikan umat Islam tidak terjebak dalam isu halalan dan toiyiban pada masa depan.
Jelasnya mengenai LTU, ia adalah hasil daripada infak orang ramai dari sudut pembelian tanah dan pembinaan.
“Kos yang terlibat untuk mewujudkan kemudahan di LTU adalah hampir RM4 juta. Kita mempunyai prasarana dan usaha semua pihak untuk memastikan industri haiwan ternakan yang ada di negara ini patuh syariah sepenuhnya,” ujarnya yang tidak mahu bergantung kepada lembu import.
Berminat untuk melakukan ibadah korban dalam negara, boleh hubungi talian 01120887961 manakala tempahan ibadah korban luar negara yang terletak di benua Afrika, Palestin dan di negara Asia Tenggara iaitu di Kemboja, Indonesia, Thailand, Myanmar dan Filipina di talian 01120887962. – UTUSAN ONLINE