NILAI: Pelumba muda berbasikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom sedia menggalas cabaran yang disandarkan kepadanya bersama dua rakan sepasukan yang lain, Mohd. Fadhil Zonis dan Umar Hasbullah sebagai trio pecut berpasukan di Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan.
Pengendali negara, John Beasly sebelum ini merancang untuk merehatkan jaguh utama, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk memberi tumpuan kepada acara individu sahaja, iaitu pecut dan keirin.
Bersandarkan prestasi sedia ada ditampilkan Ridwan, Fadhil dan Umar yang meraih pingat gangsa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, trio ini diletakkan harapan tinggi untuk merangkul pingat di Sukan Asia.
“Apa yang berlaku di sini (ACC 2023) merupakan satu keputusan positif dan sudah tentu kami berharap dapat meraih pingat pada Sukan Asia (jika dipilih beraksi).
“Seperti mana yang kami buat pada ACC, kami akan cuba tampil dengan prestasi yang baik. Harap dapat bawa pulang pingat, sekurang-kurangnya gangsa.
“Saya harap pasukan (trio) ini dapat dikekalkan kerana Azizulhasni dan Shah Firdaus boleh memberikan fokus dalam acara individu (pecut dan keirin pada Sukan Asia 2022).
“Jadi ia akan memberi peluang kepada pelumba-pelumba muda seperti saya dan Umar untuk beraksi pada Sukan Asia dalam acara berpasukan ini nanti.
“Buat masa ini, kami sudah melaksanakan tugas dengan baik dan Fadhil ketua kami. Jadi saya harap pasukan (trio) ini akan kekal sehingga Sukan Asia,” jelas Ridwan yang ditemui pemberita di Velodrom Nasional, Nilai kelmarin.
Berdasarkan rekod di Sukan Asia Jakarta/Palembang 2018, hanya Fadhil sahaja dikekalkan dalam trio acara pecut berpasukan yang menyaksikan Malaysia berjaya membawa pulang pingat perak dari temasya itu.-UTUSAN ONLINE