Remaja berusia 13 tahun pandu kereta milik ibu ditahan - Utusan Malaysia

Remaja berusia 13 tahun pandu kereta milik ibu ditahan

REMAJA berusia 13 tahun yang memandu kereta Proton Saga milik ibunya ditahan di Taman Banggol Indah, Kemaman, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tindakan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun memandu kereta dipercayai milik ibunya, mengundang padah apabila dia ditahan polis di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, remaja tersebut dikesan memandu kereta  jenis Proton Saga secara melawan arus ketika sepasukan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman membuat rondaan di bawah Jambatan Geliga, berhampiran Kemaman Waterfront, di sini, kira-kira pukul 5.15 petang.

“Ketika anggota polis cuba menahan kenderaannya, tiba-tiba remaja itu bertindak memecut laju untuk melarikan diri.

“Remaja itu turut memandu melulu dan merbahaya secara zig zag di jalan Persekutuan iaitu di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan tidak berhenti di lampu isyarat Mak Lagam, serta memotong barisan di lampu isyarat Stesen Bas Geliga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Hanyan berkata, anggota polis telah mengarahkan supaya kenderaan itu diberhentikan sebanyak tiga kali, namun tidak dipedulikan remaja tersebut.

“Peronda trafik kemudiannya mengekori kenderaan yang dipandu suspek bersama empat rakannya berusia 13 hingga 16 tahun itu sejauh 10 kilometer, sebelum menahan remaja tersebut berhampiran sebuah dobi layan diri di Taman Banggol Indah.

“Kita telah mengeluarkan enam saman dan kereta tersebut juga akan disita. Kita akan turut memanggil ibu bapa remaja itu bagi membantu siasatan dan saman akan dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan individu yang tiada lesen memandu kenderaan,” katanya.

Tegas Hanyan, tindakan remaja tersebut bukan hanya membahayakan diri sendiri, malah turut mengundang bahaya terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya