Projek PSI terus tarik minat mahasiswa dalami aspek ESG - Utusan Malaysia

Projek PSI terus tarik minat mahasiswa dalami aspek ESG

SEBAHAGIAN pelajar UiTM mendengar taklimat mengenai projek PSI di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) di Permatang Damar Laut, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) di sini semakin menarik perhatian dan minat ahli akademik dan pelajar institusi pengajian tinggi dari pelbagai bidang untuk mendapatkan maklumat mendalam mengenai projek tersebut khususnya berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Datuk Seri Farizan Darus berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang mengalu-alukan lawatan pelajar dan pensyarah ke tapak projek PSI dan gembira mereka dapat melihat kebaikan jangka masa panjang projek itu dari segi pembangunan negeri, pelaburan, peluang pekerjaan dan penambahbaikan keadaan sosio ekonomi rakyat.

“Kami menghargai minat mereka dalam projek milikan kerajaan negeri ini dan mengalu-alukan lawatan mereka.

“Kami juga gembira projek PSI dapat membantu pembelajaran pelajar universiti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, dua rombongan pelajar dan pensyarah dari Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Bahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pusat Pengajian Teknologi Industri dan Universiti Sains Malaysia (USM) berkunjung ke Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) di Permatang Damar Laut bertujuan mendapatkan maklumat yang lebih mendalam mengenai projek PSI.

Mereka telah menerima taklimat mengenai Program Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM), Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan program penglibatan komuniti (PELITAKU) yang mewujudkan peluang perniagaan untuk masyarakat setempat.

Dalam pada itu, pensyarah UiTM, Dr. Lilawati Ab. Wahab yang membawa rombongan 50 pelajar sarjana muda ukur bahan ke PPSN berkata, lawatan itu telah memberikan pelajarnya pengetahuan yang boleh diguna pakai di tempat kerja pada masa depan.

“Kedatangan kami adalah untuk mendapatkan pengetahuan dengan lebih mendalam tentang penambakan Silicon Island, khususnya dari segi ekonomi dan ESG.

“Projek seperti ini banyak berkaitan dengan pembelajaran pelajar dan dari segi ekonomi, pelajar dapat melihat bagaimana projek ini dapat memberi manfaat ekonomi dari permulaan projek lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar UiTM, Muhamad Hafith Nasir berkata, berdasarkan pemerhatiannya, projek PSI bakal memberi banyak impak dari segi ekonomi dan sosial seperti menarik pelabur dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Skim SIMP membantu nelayan menambah baik kehidupan mereka dari segi taraf hidup dan sosio ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya