Produk ada logo halal Jakim boleh masuk Indonesia tanpa sekatan

Produk ada logo halal Jakim boleh masuk Indonesia tanpa sekatan

ANWAR Ibrahim dan Joko Widodo menyaksikan pertukaran dokumen MoC antara Jakim dengan pihak BPJPH di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana produk yang memiliki logo halal disijilkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh menembusi pasaran Indonesia tanpa ada lagi halangan.

Ia susulan hasil pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) antara agensi itu dengan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dari negara berkenaan bagi pengiktirafan bersama pensijilan halal produk tempatan bagi kedua-dua negara itu.

Menurut kenyataan Jakim, melalui MoC itu yang ditandatangani di Kompleks Seri Perdana, di sini, Jakim disenaraikan sebagai badan pensijilan halal diiktiraf di Indonesia serta BPJPH disenaraikan sebagai badan pensijilan halal diiktiraf di Malaysia.

Kerajaan Malaysia diwakili Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusof manakala Indonesia diwakili Pengerusi BPJPH, Muhammad Aqil Irham Mohamad.

MoC berkenaan ujar Jakim, membolehkan dua negara berjiran itu berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pensijilan halal meliputi aspek latihan, penyelidikan dan analisis produk, selain menjadi perintis kerjasama strategik dua negara dalam bidang halal pada masa akan datang.

“Pemeteraian MoC itu turut bakal memudahkan pengeksportan produk negara ini ke republik berkenaan dan menyumbang peningkatan perdagangan dua hala,” katanya.

Sepanjang tahun lalu, pasaran halal Indonesia mencecah 696,899 bilion rupiah (RM216.7 bilion) iaitu melonjak sembilan peratus berbanding rekod dicatatkan kerajaan pada 2021.

Menurut Undang-Undang Pemerintah Nombor 39 diluluskan pada 2021, pensijilan halal merupakan syarat mandatori bagi semua jenis produk makanan, kosmetik dan perubatan.

Pengilang di republik itu perlu melepasi tapisan ketat Majelis Ulama Indonesia (MUI) dan setelah diaudit sah halal, mereka akan mendapatkan pensijilan daripada pihak BPJPH.

Difahamkan undang-undang baharu itu yang ditandatangani sendiri Presiden Indonesia, Joko Widodo menyelaraskan sijil halal kepada BPJPH sebagai badan tunggal pemerintah.

Perakuan yang disemak oleh MUI namun turut diterima Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia untuk produk ruminan, ayam dan tenusu dari negara itu dieksport ke negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya