KOTA BHARU : Pas mengakui parti itu berusaha keras untuk berdepan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, PRN kali ini dilihat sengit apabila melibatkan pertembungan dua parti berbanding tiga pada pilihan raya lalu.
“Kita tidak pernah memandang rendah terhadap kekuatan musuh. Oleh Pas sudah merangka strategi bagi menghadapi saingan dua penjuru itu nanti.
“Namun, kita tidak akan mendedahkannya. Jentera sudah disusun cuma belum 100 peratus sebab kita tunggu bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) baru kita ‘all out’,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Graduasi Pelajar Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) kali ke-13, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, agihan kerusi antara parti komponen PN di negeri ini dibuat secara status quo bagi memudahkan urusan berikutan tidak banyak ruang masa sebelum PRN diadakan.
Katanya, melihat kepada keadaan semasa Pas mencadangkan pembahagian kerusi dilakukan sama seperti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) lalu yang telah terbukti berkesan sehingga PN berjaya membolot kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri ini.
” Setakat ini tidak ada masalah berkenaan agihan kerusi DUN di Kelantan antara parti komponen PN,” ujarnya.-UTUSAN