BUTTERWORTH: Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang disifatkan sebagai medan bagi rakyat untuk meluahkan rasa terhadap kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penilaian ketika ini adalah momentum rakyat tidak percaya kepada kerajaan dan menunggu masa untuk melakukan perubahan pada PRN akan datang.
“Kalau dilihat dari segi momentumnya, majoriti rakyat menunggu peluang untuk menukar atau menunjukkan sokongan kepada PN supaya di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Harapan (PH) dapat ditukar manakala yang sedia diperintah oleh PN dapat dikekalkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor mendakwa, sentimen pengundi Melayu ketika ini menunjukkan mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan sedia ada dan semakin lama semakin bersatu menolak kerajaan hari ini.
Jelasnya, pengundi bukan Melayu pula turut mula menunjukkan kecenderungan kepada PN, sekali gus memudahkan lagi usaha menawan keenam-enam negeri pada PRN akan datang.
“Bagi pengundi bukan Melayu, mereka mengundi PH dulu atas sebab mahu menolak UMNO dan BN, tapi sekarang yang jelas menolak UMNO dan BN adalah kita dalam PN.
“Jadi pengundi bukan Melayu pun mula menunjukkan sokongan kepada PN dan saya rasa ini menyebabkan tidak mustahil untuk kita boleh mengambil alih Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.
Wan Saiful menambah, pengundi dalam kalangan belia turut dilihat sebagai indikator kepada kejayaan PN dalam PRN kelak.
“Kajian yang kita buat setakat ini, pengundi muda memang berada (di) sebelah PN. Mereka bukan sokong membuta tuli, tapi mereka faham, mereka nak kerajaan yang baik, teratur, tersusun, bersih dan stabil, maka pilihan itu ada pada PN.
“Kalau kita lihat Kerajaan Perpaduan sendiri tahu sokongan anak muda amat lemah, sebab itu sedaya upaya anjur program melibatkan anak muda untuk tarik undi.
“Tapi saya yakin anak muda adalah berprinsip dan boleh menilai, undinya adalah berdasarkan kepada situasi semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Saiful menambah, kesiapsiagaan barisan jentera PN kini berada pada tahap 80 peratus sebelum menghadapi PRN kelak.
“Cuma ada sedikit sahaja lagi, tetapi secara keseluruhannya PN dibawah gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan sudah bersiap sedia untuk PRN kali ini,” katanya. – UTUSAN