KEMAMAN: Telahan seorang rakan mengenai perkara buruk berlaku terhadap seorang pesara guru ternyata tepat apabila lelaki tersebut ditemukan mati di kediamannya di Taman Chukai, di sini, malam tadi.
Mayat Mustafa Abdul Ghani, 67, ditemukan dalam bilik tidurnya oleh anggota polis kira-kira pukul 12 malam selepas rakannya membuat laporan polis berikutan curiga selepas gagal menghubungi warga emas itu sejak minggu lalu.
Rakan mangsa, Mohamad Sabrin Hassan, 50, berkata, dia bersama seorang lagi rakannya bertandang ke rumah warga emas itu selepas mangsa tidak menjawab panggilan telefon.
“Ketika sampai, kami dapati lampu rumahnya menyala, kami cuba memanggil namanya berkali-kali, namun tidak dijawab dan pintu rumah juga berkunci.
“Kami rasa hairan sebab biasanya dia (Mustafa) akan jawab mesej dan telefon. Namun, sejak minggu lalu kami gagal hubunginya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohamad Sabrin berkata, mangsa yang tinggal bersendirian ada mengadu kurang sihat dan demam ketika dihubungi kali terakhir minggu lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pihak polis terpaksa meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat bagi memecah pintu kediaman lelaki tersebut sebelum menemui mayatnya terbaring dalam bilik tidur.
“Berdasarkan keadaan mayat kita percaya lelaki itu meninggal dunia empat hingga lima hari lalu dan kita tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya.
Hanyan berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – UTUSAN