KUALA TERENGGANU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjayakan pemetaan aktiviti komuniti kreatif Kuala Terengganu menerusi program Jerayawara Seni Dwimusim Kuala Terengganu bermula Disember 2022 sehingga Jun ini.
Ketua Setiausahanya, Datuk Saraya Arbi berkata, program jerayawara seni yang bertemakan ‘Lindungan dan Dagangan’ itu merangkumi empat segmen iaitu pameran, seni di lokasi,simposium antarabangsa dan aktiviti bersama komuniti.
Menurutnya, pemetaan aktiviti komuniti kreatif Kuala Terengganu itu dilakukan untuk mengangkat seni visual supaya dilihat lebih segar dan terancang serta bakal menarik pelancong tempatan dan asing.
“Menarik untuk saya kongsikan adalah fokus dan implementasi program Jerayawara ini yang dilihat berjaya menarik minat melalui penggemblengan kerjasama antara Balai Seni Negara, penglibatan kerajaan negeri Terengganu, komuniti seni, kolektif seni serta penggiat seni visual.
“Kejayaan ini dapat dipamerkan melalui susunan pelbagai program yang telah dirancang bersama anak-anak seni Terengganu melalui pameran, dokumentasi pelukis, mural, arca awam, perkongsian seni, bual bicara, wacana, pemetaan seni dan menjejak seni.
“Melalui seni awam ini, kita dapat menyantuni kearifan tempatan secara langsung melalui Desentralisasi, Norma Baharu, Alternative Seni (DNA) ke arah melestarikan ekosistem seni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Jerayawara Seni Dwimusim Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Selain itu, Saraya berkata, MOTAC melihat jerayawara seni yang diadakan ini selaras dengan tujuh teras utama yang digariskan di bawah Dasar Kebudayaan Negara (Daken) 2021.
“Dekan 2021 merangkumi Budaya Nilai Tinggi, Keharmonian Masyarakat, Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan Budaya, Pembangunan dan Pengembangan Budaya, Pemerkasaan Budaya, Penjanaan Ekonomi Kebudayaan dan Kecemerlangan Budaya,” ujarnya. – UTUSAN