PETALING JAYA: Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) terus menghadirkan igauan buruk kepada pasukan besar apabila kali ini Sabah FC menjadi mangsa terbaharu The Cops.
Anak buah Azzmi Aziz yang masih segar dengan kemenangan ke atas Selangor, meneruskan momentum dengan melakar kemenangan 1-0 ke atas Sabah pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, pengendali The Cops itu mengekalkan taktikal sama iaitu lebih banyak bertahan dan menjadikan serangan balas pantas sebagai senjata utama pasukan tuan rumah.
Perancangan itu nyata membuahkan hasil apabila pemain-pemain Sabah berada dalam tekanan untuk menembusi benteng kebal dibina tuan rumah.
Ketika PDRM FC lebih banyak menyerap serangan lawan, serangan balas pantas dilakukan pada minit ke-26 membuahkan hasil menerusi ledakan Nabil Ahmad Latpi.
Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Datuk Ong Kim Swee cuba merencana serangan namun gagal menembusi gawang yang dikawal Ramdhan Ab Hamid.
Bersambung babak kedua, Sabah terus meningkat intensiti serangan namun beberapa peluang yang terhidang gagal diterjemahkan dalam bentuk gol sekali gus menyaksikan mereka menerima nasib sama seperti Kedah dan Selangor.-UTUSAN