Orang kita suka fikir benda remeh

Orang kita suka fikir benda remeh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG kita terlampau banyak masa terluang sehingga perkara remeh pun mahu difikirkan.

Sebagai contoh, sepanjang minggu ini, kenduri perkahwinan artis di pulau peranginan menjadi topik perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Masing-masing saling menyalahkan tuan rumah dan para tetamu yang hadir dalam majlis tersebut termasuk seorang yang berstatus agamawan.

Sebenarnya, tiada keperluan pun untuk masyarakat berlebih-lebihan memberi pandangan, teguran dan komen.

Majlis sudah berlangsung, pengantin dan tetamu pun pulang dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Ini tidak, serba serbi mahu dipuji dan dikutuk.

Bagi golongan yang taksub, inilah peluang terbaik untuk menyerang seseorang yang dilihat bertentangan dengan sifat peribadinya.

Apabila kenduri artis pun diperdebatkan sebegitu rancak sekali, di mana tanda aras pemikiran orang kita?

Bukan sahaja artis, apabila berkunjung ke kenduri kahwin sanak saudara atau sahabat pun kita gemar menjadi juri tidak berbayar. Itu ini, begitu begini ada sahaja yang tidak kena di mata.

Buat besar-besaran pun salah, nanti dikatakan sengaja mahu menunjuk kekayaan dan membazir. Buat kecil-kecilan pula dituduh kedekut atau ‘miskin’.

Itu belum lagi komen pedas mengenai pakaian dan solekan pengantin selain soal hantaran, lauk-pauk serta cenderahati tetamu.

Sampaikan ada kawan-kawan saya yang risau dan bersikap selektif dalam menjemput tetamu ke hari bahagia demi mengelak kisah mereka menjadi buah mulut ramai.

Paling lucu, ada juga seorang dua rakan yang menyuarakan ‘kekesalan’ kerana tidak sempat berkahwin pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dianggap paling selamat.

Selamat kerana hanya mendahulukan perkara wajib iaitu akad nikah yang disaksikan keluarga terdekat tanpa kehadiran tetamu. Jadi, tidak perlulah pengantin terlebih pening dan rungsing memikirkan tentang majlis di samping dapat menjimatkan kos perbelanjaan.

Cerita saya ini sekadar contoh sahaja. Pelik juga kenapa orang kita terlampau mengambil kisah benda-benda remeh, sedangkan banyak lagi isu besar dalam negara yang boleh kita risaukan bersama.

Misalnya, isu seramai 14,858 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang dikesan tidak hadir peperiksaan tahun lalu.

Jumlah itu melonjak berbanding SPM 2021 yang merekodkan seramai 10,681 calon ponteng daripada keseluruhan 392,837 calon berdaftar.

Trend ponteng SPM kini amat membimbangkan, sedangkan sijil itu penting bagi menjamin masa depan seseorang.

Sepatutnya, kisah sebegini yang dirisaukan masyarakat. Jika situasi ini terus berlarutan, tidak mustahil tempiasnya boleh merebak kepada ahli keluarga atau orang terdekat kita di masa depan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya