JINAK, tenang dan pemalu. Walaupun namanya kedengaran ganas, namun crocodile skink bukanlah spesies buaya yang menyerang manusia.
Cicak comel yang dipanggil naga kecil ini mirip watak dalam filem animasi, How to Train Your Dragon.
Pemilik haiwan eksotik itu, Nur Nina Farisha Woo Abdullah, 26, berkata, crocodile skink mudah dijaga kerana saiznya yang kecil.
Malah, katanya, reptilia itu sesuai buat individu yang berniat mahu menceburi dunia haiwan eksotik.
Ujarnya, dia mula memelihara crocodile skink sejak 2018 selepas dibeli di kedai haiwan dengan harga RM380 seekor.
Kini dia memiliki sepasang naga kecil yang dinamakan Jack dan Lunar.
Nur Nina Farisha berkata, keunikan crocodile skink atau jenis red-eyed crocodile skink adalah pada matanya yang membuatkan haiwan itu digemari ramai.
“Matanya besar dengan warna merah atau jingga seperti bercelak, selain itu naga kecil ini turut memiliki duri-duri di belakang badan.
“Namun, haiwan yang berasal dari Papua New Guinea ini sangat jarang dipelihara di Malaysia, malah masih ramai yang tidak mengetahui kewujudannya,” ujarnya.
BUKAN HAIWAN MANJA, GARANG
Kata Nur Nina Farisha, crocodile skink tidak manja atau garang, sebaliknya sangat pemalu dan lebih suka bersendirian.
Sehubungan itu, katanya, ia bukan haiwan yang sesuai dibawa keluar atau dipegang kerana sifat pemalu itu.
“Biasanya ia akan menyorok di tempat gelap dan hanya keluar memburu dan makan sekitar waktu subuh dan senja sahaja.
“Walaupun tidak manja, tetapi crocodile skink ini bukanlah garang dan menggigit kerana ia lebih rela lari daripada melakukan gigitan dan sebagainya,” kongsinya.
BELA SEAWAL SATU TAHUN
Nur Nina Farisha berkata, naga kecil itu sesuai dipelihara pada usia enam hingga tujuh bulan ke atas.
Katanya, jika terlalu kecil dikhuatiri tidak dapat memberikan perhatian dan keperluan yang secukupnya.
“Sebaiknya, bela yang sudah berumur setahun kerana memiliki sistem pertahanan badan yang kuat dan lasak.
“Ia boleh dibela secara berpasangan mahu pun seekor jantan dan dua atau tiga ekor betina,” katanya.
Katanya, jangka hayat haiwan itu antara lapan hingga 10 tahun jika dijaga dengan betul.
KOS MAKANAN MURAH, RM10
Walaupun kos seekor crocodile skink mencecah ratusan ringgit, namun menurut Nur Nina Farisha perbelanjaan makanan pula hanya RM10 sebulan.
“Haiwan ini makan sedikit dan tidak kerap. Biasanya, saya beri makan ulat roti, cengkerik, lipas dubia atau cacing tanah.
“Cuma untuk kos permulaan agak tinggi kerana sangkarnya bernilai antara RM200 hingga RM300. Penyediaan sangkar yang sesuai dapat memastikan keselesaannya selain dijaga dengan betul,” akhirinya. – UTUSAN