PETALING JAYA: Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia akan berdepan pemain Hong Kong, Ng Ka Long pada pusingan pertama Terbuka Korea yang membuka tirai pada 18 hingga 23 Julai.
Penampilan itu membuktikan Zii Jia telah kembali mendapat motivasi selepas memilih berehat seketika sebelum ini, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, satu hal yang membimbangkan sekarang adalah kedudukannya dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang turun tiga anak tangga (dari 12 ke 14) minggu ini dan kelayakannya untuk beraksi di Sukan Olimpik 2024 berkemungkinan hilang jika terus jatuh ke ranking dunia 16 ke bawah.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata usaha pemain berusia 25 tahun itu untuk bangkit semula selepas berehat sebentar dan diharapkan memberinya kesegaran bagi meneruskan misi mengumpul mata ke Paris, tahun hadapan.
Ujar Pekan, tempoh dua minggu mungkin sangat pendek namun dia yakin atlet itu telah menggunakan setiap waktu dengan optimum bagi menstabilkan emosi serta meredakan tekanannya selama ini.
“Kita harap dalam masa mahu berehat itu, dapat melepas lelah dan segar semula di Korea nanti. Kita harap dia beraksi tanpa tekanan lebih-lebih lagi selepas mendapat jurulatih baharu, Wong Tat Meng.
“Bila Zii Jia bersedia ‘comeback’ bulan depan, saya tahu dia dalam keadaan risau sebab ranking pun turun sekarang. Ini kejohanan yang tawar mata tinggi, jadi jika dapat atasi badi kekalahannya yang sebelum ini, itu pasti tambah kelegaan.
“Apa pun, saya harap dia tidak sertai Terbuka Korea kerana bimbang ranking jatuh. Ketepikan dahulu soal itu, dia perlu positif, dapatkan sokongan psikologi untuk bersemangat ketika bermain,” katanya.
Sementara itu, Pekan juga menasihati Zii Jia agar berfikir sehabis baik sebelum memutuskan untuk berehat selepas ini kerana dia sudah terikat dengan program RTG, bukan sahaja sebagai atlet elit tetapi juga menerima elaun bulanan.
“Memang sebagai pemain profesional, dia boleh putuskan berehat bila-bila masa. Cuma, bila sudah terima tawaran RTG, sebaik-baiknya elakkan buat keputusan begitu sebab akan ada pihak yang melihat perjalanan programnya kerana dia dibayar elaun,” katanya.-UTUSAN