MASALAH gusi jarang diberi perhatian serius dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Namun, tahukah anda yang sebenarnya masalah ini boleh mempengaruhi kesihatan jantung secara tidak langsung?
Naib Presiden Persatuan Periodontologi Malaysia (MSP), Dr. Mohd. Faizal Hafez Hidayat berkata, pengabaian kesihatan gusi boleh memberi kesan terhadap tahap kesihatan jantung apabila berlaku radang pada bahagian mulut.
Jelasnya, bakteria daripada mulut boleh memasuki aliran darah dan tiba di kawasan tertentu pada jantung yang sekali gus menyebabkan lapisan dalam jantung atau injap dijangkiti.
“Ia bukanlah terjadi secara langsung tetapi memang ada kaitannya. Risiko penyakit jantung lebih tinggi kalau seseorang ada masalah gusi.
“Tambahan pula jika individu itu mempunyai masalah jantung, ia juga meningkatkan risiko jantung tersumbat,” katanya ketika ditemui dalam majlis Be #GumProud di sini baru-baru ini.
Majlis itu dianjurkan jenama produk kesihatan mulut, Systema sempena Hari Kesihatan Gusi pada 12 Mei lalu.
Kurang kesedaran
Mohd. Faizal Hafez berkata, lebih membimbangkan apabila tahap kesedaran masalah gusi masih lagi rendah.
Katanya, punca utama masyarakat mengambil mudah mengenainya adalah kerana masalah berkenaan tidak memberi impak besar terhadap kehidupan seharian.
Katanya, fungsi gusi adalah untuk melindungi gigi dan mencegah penyakit dalam mulut.
“Tanpa penjagaan gusi yang betul, bakteria tidak baik memasuki persekitaran gigi lalu menyebabkan jangkitan dan keradangan.
“Jika tidak ditangani lebih awal, ia boleh membawa kepada kemusnahan tisu gusi atau periodontis, yang merupakan penyakit gusi,” jelasnya.
Ujar Mohd. Faizal Hafez, penyakit jantung bermula dengan plak yang dipenuhi bakteria melekit yang terkumpul di bawah dan di sepanjang garis gusi.
Menurutnya, selain penyakit jantung, ia juga boleh meningkatkan risiko osteoporosis, strok dan diabetes.
Sehubungan itu, katanya, cara paling ampuh untuk mengelakkan penyakit berkenaan adalah dengan memastikan keadaan gigi dan gusi sihat sejak di usia muda.
Jelasnya, amalan itu dapat membantu mengesan gingivitis di peringkat awal sekali gus membolehkan langkah pencegahan awal diambil.
Penyakit gusi membimbangkan
Sementara itu, Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian, Dr. Noormi Othman berkata, penyakit gusi di Malaysia kini di tahap amat membimbangkan.
Katanya, laporan Tinjauan Kesihatan Pergigian Kebangsaan untuk Kanak-Kanak Sekolah di Malaysia 2015 (NOHSS) mendedahkan sebanyak 99.6 peratus golongan berumur 12 tahun mengalami masalah gusi berdarah, yang merupakan tanda awal penyakit gusi.
“Malah, pada 2019, dianggarkan sebanyak 9.2 peratus orang dewasa berumur 15 tahun ke atas mengalami penyakit periodontik yang teruk menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia,” katanya.
Dalam pada itu, kajian yang dijalankan oleh Lion Corporation Japan, pemilik jenama Systema, mendapati sebanyak 80 peratus responden dewasa di negara ini mempunyai sekurang-kurangnya satu tanda atau simptom penyakit gusi yang ketara.
Bagaimanapun, hanya 1 peratus yang sedar mengenai masalah yang dihidapi.
Penemuan itu menunjukkan yang rakyat Malaysia secara amnya masih mempunyai tahap kesedaran rendah tentang kepentingan kesihatan gusi mereka.
“Penjagaan yang kurang baik, di samping faktor-faktor lain seperti penggunaan tembakau boleh merisikokan kesihatan mulut seseorang.
“Justeru, penting untuk mengajar dan membimbing masyarakat Malaysia supaya menjaga kesihatan mulut sebelum atau selepas memberus gigi, termasuk memeriksa keadaan seperti gusi berdarah, sisa makanan atau bengkak bagi membantu pengesanan awal keadaan mulut,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Southern Lion, Kazuo Mabuchi berkata, kesedaran untuk mengekalkan kesihatan mulut adalah penting bagi memastikan gusi kekal sihat dan berwarna merah jambu.
“Gigi kuat bermula dengan gusi sihat, kempen Be #GumProud ini menggalakkan rakyat Malaysia melindungi kesihatan gusi mereka.
“Kami berbesar hati kerana inisiatif ini mendapat sokongan Persatuan Periodontologi Malaysia (MSP) dan Kementerian Kesihatan,” katanya. – UTUSAN