PETALING JAYA: Malaysia dan Turkiye akan mengeratkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih tinggi terutamanya hubungan bilateral dan antarabangsa antara kedua-dua negara.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menerusi perbualan telefon, semalam.
Anwar turut menzahirkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan Erdogan dalam pilihan raya Presiden Republik Turkiye baru-baru ini dan mengagumi ketabahan dan kesabarannya dalam menghadapi pelbagai cabaran untuk memenangi pilihan raya tersebut.
“Sudah tentu selepas ini apabila semua sudah selesai, (Erdogan) boleh memberi perhatian kepada isu seperti perdagangan, pelaburan, kerjasama ketenteraan, pendidikan dan budaya.
“Selain itu, amat penting untuk meneruskan mandat selepas mendapat sokongan dan bekerjasama dalam isu dua hala dan antarabangsa,” katanya melalui rakaman video.
Anwar juga menjemput Erdogan untuk berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat.
Erdogan menang pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye semalam, sekali gus melanjutkan lagi pemerintahannya selama lima tahun di negara itu menuju dua dekad. – UTUSAN