KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai peluang besar untuk memanfaatkan tenaga boleh baharu sebagai sumber ekonomi termasuk meneroka permintaan tinggi dari luar negara.
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir Guntor Tobeng berkata, peluang yang terdapat pada tenaga boleh baharu jauh lebih besar daripada yang dijangkakan jika negara ini boleh memanfaatkan setiap sumber yang ada.
Katanya, ini termasuk memajukan kawasan-kawasan bekas lombong terbiar dengan ladang solar bukan sahaja untuk bekalan tempatan tetapi juga eksport.
“Peluang lebih besar daripada yang yang dijangkakan kalau kita dapat mengeksport tenaga.
“Kita ada tanah-tanah bekas lombong untuk dibangunkan dengan ladang solar. Tidak perlu guna tanah-tanah yang subur untuk pertanian.
“Manfaatkan bekas-bekas lombong tinggal untuk bina ladang solar dan seterusnya guna tenaga yang dihasilkan untuk eksport,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Energy Asia 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Persidangan itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Guntor berkata, tanah-tanah bekas lombong yang tidak subur dan tidak ada nilai boleh diteroka untuk tujuan itu.
Selain itu katanya, Malaysia mempunyai kepakaran dan pengetahuan dalam bidang ini yang mampu membawa negara ke hadapan dalam industri tenaga boleh baharu.
Katanya, ia disokong pula oleh perancangan sedia ada termasuk perjanjian interconnection dengan Singapura sebanyak 1,000 megawatt yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan tersebut.
“Kita juga ada perjanjian pembelian tenaga sebanyak 300 megawatt dengan Thailand untuk beli terus tenaga elektrik dari kita bagi bekalan di selatan Thailand. Begitu juga dengan Indonesia.
“Kerancakan dari segi transisi tenaga ini begitu hebat. Jika kita tidak rebut kita akan ketinggalan.
“Laos kini mengeksport tenaga hidro ke Singapura menggunakan talian grid kita. Dia cuma bayar caj penggunaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Tak kan kita hendak tengok sahaja. Kita juga perlu rebut peluang ini,” katanya.
Selain itu kata Guntor, ia akan turut menghasilkan peluang pekarjaan, kepakaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) contohnya seperti penghasilan bateri bagi menyimpan tenaga elektrik yang dihasilkan daripada solar. – UTUSAN