Lulusan komunikasi massa pilih kerjaya gubah bunga

Lulusan komunikasi massa pilih kerjaya gubah bunga

WHIMSYBLOOM menjadi pilihan ramai kerana kelebihan daripada segi harga. UTUSAN/ FIRDAUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN modal awal serendah RM50, siapa sangka bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam bidang Komunikasi Massa (Penyiaran) mampu meraih pendapatan antara RM4,700 hingga RM7,700 dalam sebulan.

Ganjaran lumayan setanding golongan profesional itu hasil kerja keras Ramadhani Safitri Zainal, 30, menerajui perniagaan gubahan bunga dan hadiah, WhimsyBloom sejak lapan tahun lalu.

Hingga kini, perkhidmatannya menjadi pilihan ramai pelanggan terutama di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Mengakui tidak pernah mengimpikan bergelar usahawan, katanya, haluan itu diambil kerana kesukaran mendapatkan kerjaya bersesuaian selepas tamat pengajian pada 2015.

Enggan mensia-siakan masa menjadi penganggur, Ramadhani Safitri merebut peluang perniagaan yang ada di depan mata.

Walaupun tiada asas dalam gubahan kreatif, ibu kepada dua anak itu banyak berguru dengan video-video di Youtube di samping perkongsian gambar oleh penggiat luar negara di laman Pinterest dan Instagram.

Ujar Ramadhani Safitri, ilmu-ilmu tersebut menjadi rujukan serta panduan dalam menghasilkan bentuk gubahan yang menarik, kemas dan terkini untuk pelanggan.

“Seni gubahan sebenarnya tidak susah dan semua orang boleh membuatnya sama ada secara sambilan atau sepenuh masa asalkan ada minat.

“Paling menarik, kita tidak memerlukan duit yang besar untuk memulakan perniagaan ini kerana kos pembelian barangan boleh dibuat dengan menggunakan wang pelanggan dan kemudian dijadikan pula sebagai modal pusingan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Ara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Kawan sekelas jadi rakan kongsi

Sebelum ini, perniagaan dilakukan dari rumahnya di Kajang tetapi pada 2021, Ramadhani Safitri berhasrat meluaskan lagi perkhidmatannya dengan membuka kedai.

Bagi merealisasikan impian itu, dia mengajak rakan sekelas di UiTM, Raja Syafirah Raja Saad, 29, menjadi rakan kongsi WhimsyBloom.

Kongsinya, kedai pertama mereka dibuka di Petaling Jaya pada 2021 tetapi hanya sempat beroperasi selama empat bulan akibat pandemik Covid-19.

“Selepas itu, operasi kembali dibuat di rumah masing-masing. Walaupun banyak perniagaan terjejas kerana Covid-19, tetapi kami bersyukur kerana tempahan bunga dan hadiah naik mendadak.

“Daripada situ, kami berjaya mengumpul semula modal sebanyak RM30,000 untuk membuka kedai lebih besar di Ara Damansara yang beroperasi sejak awal tahun lalu dengan empat pekerja,” katanya yang merancang membuka cawangan kedua di Kajang.

Tarik pelanggan dengan pamer harga

Perkhidmatan gubahan bunga dan hadiah ibarat cendawan tumbuh, tetapi WhimsyBloom kekal menjadi pilihan ramai kerana kelebihan daripada segi harga.

Menurut Raja Syafirah, harga yang ditawarkan masih berpatutan iaitu antara RM39 hingga RM600.

“Istimewanya, pelanggan tidak perlu bertanyakan kos kerana setiap gubahan dilabel dengan harga bagi memudahkan urusan pembelian.

“Pendekatan ini secara tidak langsung membuatkan orang ramai seronok dan selesa membeli dengan WhimsyBloom sekali gus dapat menjimatkan masa mereka,” ujarnya.

Tambah Raja Syafirah, lazimnya mereka menerima antara 60 ke 80 tempahan gubahan setiap hari bagi kejutan hari lahir, ulang tahun perkahwinan di samping sambutan hari-hari simbolik seperti hari ibu, bapa serta guru.

Hantaran, hamper

Bermula tahun ini, perkhidmatan WhimsyBloom dikembangkan kepada gubahan hantaran dan hamper korporat.

Ramadhani Safitri berkata, perkembangan terbaharu itu selaras untuk mengukuhkan lagi jenamanya dalam industri perkahwinan di samping penganjuran majlis.

“Sewa dulang hantaran ialah RM30 setiap satu dan kita juga menerima tempahan bunga tangan dengan harga bermula RM119,” katanya.
Maklumat lanjut layari laman Instagram whimsybloom.kl atau hubungi 013-4473243 untuk tempahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya