OSLO: Lebih 6,000 orang awam terbunuh di Myanmar dalam tempoh 20 bulan pertama selepas junta melakukan rampasan kuasa pada Februari 2021.
Jumlah kematian itu didedahkan menerusi satu laporan disiarkan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Oslo.
“Data kami menunjukkan angka kematian akibat konflik itu adalah lebih tinggi berbanding dilaporkan sebelum ini.
“Ini secara jelas menunjukkan junta adalah pembunuh utama, pasukan anti-junta juga bertanggungjawab atas sebahagian besar mangsa maut,” kata penulis laporan, Stein Tonnesson menerusi kenyataan.
Menurut laporan itu, seramai 6,337 orang awam dibunuh `atas sebab politik’ antara 1 Februari 2021 dan 30 September 2022 manakala sekitar 2,614 orang pula cedera.
Dilaporkan, angka kematian itu jauh lebih tinggi berbanding data dikemukakan sebelum ini termasuk dari organisasi antarabangsa.
Berdasarkan laporan, hampir separuh kes kematian iaitu 3,003 dikaitkan dengan rejim tentera, polis dan militia manakala sekitar 2,152 lagi mempunyai kaitan dengan kumpulan individu bersenjata.
12 kematian lagi dikaitkan dengan orang awam lain yang tidak bergabung sama ada dengan rejim atau penentang, manakala 1,170 merangkumi pelaku yang tidak ditentukan.
“Ini adalah jumlah lebih besar daripada yang biasa dinyatakan dalam media, namun ia hanyalah anggaran berdasarkan pembunuhan yang dikumpulkan menerusi laporan media boleh dipercayai.
“Angka kematian sebenar sudah tentu lebih tinggi kerana banyak pembunuhan mungkin tidak dilaporkan,” jelas laporan itu.
Junta tentera sebelum ini mendakwa pilihan raya dimenangi parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi dipenuhi dengan penipuan.
Junta membatalkan keputusan pilihan raya itu secara rasmi dan bertindak menggulingkan kerajaan pimpinan Suu Kyi.
Menurut badan pemerhati tempatan, sejak itu, junta melakukan penindasan besar-besaran terhadap mana-mana pihak yang membantah, dengan menahan lebih 23,000 orang. – AFP