Lebih 19,000 jemaah sudah berada di Tanah Suci - Mohd. Na'im

Lebih 19,000 jemaah sudah berada di Tanah Suci – Mohd. Na’im

MOHD. Na'im Mokhtar mengiringi Al-Sultan Abdullah mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Lebih 19,000 jemaah haji Malaysia sudah pun selamat sampai dan berada di Tanah Suci sejak penerbangan pertama bermula 21 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, jumlah itu tidak termasuk 355 jemaah bakal haji yang akan berlepas ke Tanah Suci pada hari ini iaitu merupakan penerbangan haji yang ke-66.

Menurut beliau, Lembaga Tabung Haji (TH) menguruskan lebih 31,000 jemaah pada musim haji 1444H kali ini yang merupakan kuota penuh rasmi negara, dengan menggunakan 98 penerbangan sewa khas haji terus ke Tanah Suci sehingga 21 Jun ini.

“Kerajaan Arab Saudi juga meneruskan perkhidmatan Makkah Route untuk jemaah haji Malaysia buat tahun yang kelima sejak diperkenalkan pada tahun 2017.

“Perkhidmatan ini ternyata berjaya melancarkan pergerakan jemaah ketika proses imigresen dan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan setibanya jemaah di lapangan terbang Madinah serta Jeddah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan majlis keberangkatan Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berharap para jemaah haji dapat melakukan amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci nanti.

Kata beliau, Sekiranya mempunyai apa-apa kemusykilan hukum, mereka boleh bertanya kepada para pembimbing ibadat Tabung Haji bagi memastikan amalan yang dilakukan adalah betul dan sempurna.

“Para jemaah juga dinasihatkan sentiasa menjaga kesihatan diri serta sentiasa memakai gelang dan kad pengenalan diri yang dibekalkan oleh Tabung Haji supaya mudah dikenal pasti sekiranya berlaku sebarang kecemasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya