Kura-kura penawar putus cinta

Kura-kura penawar putus cinta

MUHAMMAD Aidil Zikry Zaidi memegang kura-kura kesayangannya iaitu Momok (kiri) dan Toto.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP orang memiliki cara berbeza untuk mengubati kesedihan dan meredakan kekecewaan masing-masing.

Ada yang memilih bercuti ke pulau peranginan untuk mencari ketenangan, malah ada juga yang menyibukkan diri dengan hobi tertentu.

Bagi Muhammad Aidil Zikry Zaidi, 26, pengalaman berpisah dengan kekasih kira-kira tiga tahun lalu mendorongnya memelihara kura-kura dikenali sebagai Momok dan Toto.

Menurut pemuda dari Kampung Melayu Subang di Selangor itu, kedua-dua reptilia berkenaan bukan sahaja menjadi penawar putus cinta, malah terapi setelah letih dan stres bekerja.

Menceritakan lebih lanjut katanya, minat memelihara haiwan dipupuk sejak kanak-kanak lagi, namun hobi itu terhenti setelah dia menyambung pengajian di peringkat diploma.

“Semasa kecil, semua haiwan peliharaan ditangkap sendiri di longkang, sungai atau semak seperti ikan, kura-kura, cicak, kumbang dan belalang.

“Selepas putus cinta, saya nekad untuk meneruskan kembali hobi itu dan Momok dibeli pada 2020 dengan harga lebih RM100,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Muhammad Aidil Zikry berkata, Momok merupakan daripada spesies Common Snapping Turtle atau juga digelar kura-kura buaya.

Katanya, selang setahun, Toto daripada spesies Sulcata Tortoise pula dibeli dengan harga RM300.

KURA-KURA AIR, DARAT MILIKI SIFAT BERBEZA

Walaupun kura-kura bukan haiwan berbulu yang manja tetapi kepuasan dan keseronokan tetap dicapai Muhammad Aidil Zikry sepanjang memelihara haiwan berkenaan.

Jelasnya, Momok merupakan kura-kura air manakala Toto pula habitatnya di daratan, malah sifat dan pemakanan kedua-dua reptilia seberat 1 kilogram (kg) itu turut berbeza antara satu sama lain.

Katanya, Momok diberikan makanan seperti anak ikan dan tikus selain ayam serta katak manakala Toto pula makan sayur-sayuran dan palet.

“Memandangkan kedua-duanya masih kecil, kos makanan tidak begitu tinggi dengan jumlahnya kira-kira RM80 sebulan,” katanya.

Kedua-dua haiwan itu bersama seekor cicak jinak bernama Aboy daripada spesies Bearded Dragon ditempatkan di akuarium dan bekas khas di bilik tidurnya.

Kongsi Muhammad Aidil Zikry, Momok ditempatkan di akuarium yang dilengkapi dengan pam dan penapis manakala Toto pula dalam bekas khas yang dipasang lampu ultraviolet (UV).

Ujarnya, setiap pagi reptilia itu akan dijemur kira-kira 30 minit di bawah sinaran matahari bagi memastikannya kekal sihat.

Katanya, kura-kura juga perlu mandi antara dua hingga tiga kali dalam seminggu.

REAKSI BERSAHAJA TOTO JADI PERHATIAN

Sementara itu, Muhammad Aidil Zikry berkata, Momok memiliki ciri-ciri agresif dan gemar menggigit manakala Toto pula menjadi perhatian hampir 90,000 pengikutnya di TikTok kerana reaksi yang mencuit hati.

Katanya, kebanyakan video-video Toto yang dikongsikan di laman sosial adalah potongan daripada rakaman secara langsung yang dibuat pada waktu pagi.

“Orang tertarik dengan Toto mungkin kerana reaksinya yang comel dan bersahaja ketika diajak berbual, seolah-olah faham apa yang saya katakan.

“Sebenarnya normal untuk kura-kura Sulcata mengangguk dan bergerak jika dipegang, tetapi secara kebetulan setiap aksinya itu kena dengan soalan-soalan saya lalu membuatkan ramai terhibur,” katanya.

KOMITMEN SEUMUR HIDUP

Sebelum membela kura-kura Sulcata, seseorang perlu mendalami maklumat mengenai reptilia berkenaan dan cara penjagaannya termasuk keperluan mendapatkan lesen.

Hal itu kerana memelihara haiwan eksotik tersebut menuntut komitmen seumur hidup terutama dari segi kos.

Menurut Muhammad Aidil Zikry, jangka hayat kura-kura gergasi itu boleh mencecah antara 80 hingga 150 tahun dengan berat sehingga 100 kg manakala panjang pula lebih 60 sentimeter.

“Justeru, persediaan rapi dan jangka panjang diperlukan termasuk kawasan yang sesuai untuk tumbesaran.

“Besar harapan saya untuk melihat Toto membesar dengan sihat hingga boleh dibawa berjalan-jalan ke taman,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya