PETALING JAYA: Kecemerlangan kontinjen negara melepasi sasaran 33 pingat emas dalam Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Phnom Penh, Kemboja, telah membuktikan keazaman penuh atlet, jurulatih dan keseluruhan skuad dalam menghadirkan kemenangan setiap hari tanpa lelah.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kejayaan membolot 40 pingat emas, 33 perak dan 25 gangsa setakat semalam menjadikan tiada seorang pun atlet merasa kecundang, malah semuanya meraikan dengan kesyukuran.
Ujarnya, kunci pencapaian kontinjen adalah kerana kesepakatan ekosistem oleh semua individu dalam sukan para, yang kemudiannya membolehkan ramai atlet mencipta kejutan dalam temasya edisi ini, selain mengejar pungutan pingat yang sudah pun melebihi sasaran.
“Kunci dan formula kejayaan ini saya rasa di mana hubungan baik antara jurulatih dan atlet. Terima kasih juga kepada persatuan kebangsaan, terima kasih kepada seluruh ekosistem keluarga sukan para, kesungguhan atlet menunjukkan mereka beri yang terbaik dan capai kejayaan tertinggi.
“Ini adalah kerja keras dan strategi kita, hasil kerjasama kita dan juga berkat persahabatan kami bersama atlet. Saya percaya, inilah formula kita.
“Ada juga atlet yang bawa kejutan di mana dia sasarkan pingat perak tetapi alhamdulillah dapat emas. Bermakna mereka tunjukkan satu keyakinan yang tinggi dan juga keazaman mahu dapatkan pingat itu.
“Ada juga atlet yang kita sasarkan emas, hanya dapat perak. Itu adat permainan, menang kalah. Sama ada emas, perak atau gangsa, itu adalah sebahagian daripada pertandingan. Saya percaya, mana yang tunjukkan kecemerlangan, ada yang pecah rekod, kemenangan itu 100% milik atlet.
“Tiada atlet yang kecundang atau sedih. Kita menang sebagai sepasukan,” katanya.
Dalam APG 2021 di Solo, Indonesia, Malaysia meraih 36 emas, 20 perak dan 14 gangsa dalam pungutan pingat keseluruhan.-UTUSAN