PETALING JAYA: Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berjaya memenangi permohonan rayuan perintah penggantungan terhadapnya sekali gus memberi satu tamparan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang terpaksa membayar kos keseluruhan sebanyak CHF13,500 (RM68,960).
Menerusi satu kenyataan, pemilik Hockademy itu berkata, Suruhanjaya Kehakiman Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) membatalkan penggantungan tambahan selama 12 bulan yang dikenakan kepadanya oleh KHM dan mengarahkan badan induk itu membayar segala kos berkaitan dengan rayuan itu.
“Saya didakwa oleh Jawatankuasa Tatatertib KHM melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 apabila membuat kenyataan media berkaitan dengan kelewatan pembayaran hadiah wang tunai kemenangan LHM sehingga mengakibatkan saya digantung selama 18 bulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti hoki berkuat kuasa mulai 3 November 2020.
“Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, saya merayu ke Jawatankuasa Rayuan KHM dan pihak Jawatankuasa Rayuan KHM menolak rayuan saya dan mengarahkan saya untuk membuat rayuan kepada Kongres KHM.
“Walaupun memfailkan rayuan kepada Kongres KHM, rayuan itu sehingga kini masih belum didengar oleh Kongres KHM.
“Sukar untuk saya fahami mengapa pihak KHM sendiri tidak cakna dan faham berkaitan dengan perlembagaan dan prosiding undang-undang sebelum menjatuhkan hukuman berat ke atas saya yang secara tidak langsung mencemarkan nama baik di dalam industri sukan tanah air.
“Tidak cukup dengan itu, KHM sekali lagi mendakwa saya melanggar perintah penggantungan pertama itu apabila saya didakwa oleh KHM berdasarkan penglibatan saya di dalam sidang temu ramah di dalam talian bersama bekas pemain hoki Pakistan iaitu Shahbaz Ahmad dan kegagalan saya untuk memperbetulkan maklumat surat Bremer Hockey Club kepada Menteri KBS yang menggelarkan saya sebagai Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur.
“Oleh itu, saya digantung sebagai hukuman tambahan selama 12 bulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti hoki. Setelah mendapat nasihat pasukan guaman saya yang diketuai Zhafri Aminurashid dan dibantu Isa Aziz Ibrahim, Nurasyida Bohari, Ezreen Abdul Rahman, saya memfailkan rayuan kepada FIH pada 27 Oktober 2022,” katanya.
Jelas Megat, pihak Suruhanjaya Kehakiman FIH menyatakan beberapa perkara di dalam alasan penghakiman yang dikeluarkan oleh badan induk itu, antaranya Panel FIH melihat kejanggalan keputusan perintah penggantungan pertama yang dikenakan kepadanya terlalu tegas dan tidak munasabah apabila sekadar bertanyakan isu berkaitan pembayaran hadiah wang tunai kemenangan LHM.
Katanya, Panel FIH menyatakan keputusan perintah penggantungan pertama yang dibuat adalah tidak berpatutan memandangkan kesalahan yang dilakukannya hanya kesalahan kecil yang tidak sama sekali memberi sebarang impak negatif kepada sukan hoki.
“Berdasarkan kepada dapatan yang dibuat oleh Suruhanjaya Kehakiman FIH itu jelas menunjukkan saya sudah menjadi mangsa kepada sistem perundangan KHM yang sebelum ini begitu konsisten untuk menghalang penglibatan saya di dalam sukan hoki Malaysia.
“Keputusan Suruhanjaya Kehakiman FIH ini memberi tamparan hebat kepada pentadbiran sukan hoki supaya akur kepada piawaian asas prosiding tatatertib dan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan tanpa menepati ciri-ciri asas keadilan sejagat (Natural Justice) dan keadilan prosedur (Procedural Fairness).
“Saya berharap agar tiada lagi mana-mana individu yang akan menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa pentadbiran oleh mana-mana Persatuan Sukan Kebangsaan untuk mendiamkan mana-mana individu yang dianggap sebagai vokal dan bersikap kritis terhadap pengurusan sukan negara.
“Keputusan Suruhanjaya Kehakiman FIH juga sedikit sebanyak dapat mengembalikan maruah saya di dalam industri sukan tanah air kerana selama hampir tiga tahun ini saya terpaksa berlawan dengan arus demi menegakkan keadilan dan Alhamdulillah kemenangan akhirnya milik saya,” katanya.-UTUSAN