Jantung cacat: Bayi dua bulan perlu dana RM80,000

Jantung cacat: Bayi dua bulan perlu dana RM80,000

KEADAAN Mohammad Rizki Ramadhan Mohammad Hafiz yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal Hospital Pulau Pinang akibat kecacatan jantung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seperti pasangan lain, Mohammad Hafiz Mohammad Abdul Ghani, 40, dan isteri, Nurul Hayati Hasan Azhari, 32, telah membuat persiapan rapi untuk menyambut kelahiran cahaya mata pertama mereka kira-kira dua bulan lalu di Kedah.

Bagaimanapun, pasangan itu diuji kerana bayi lelaki mereka yang diberi nama Mohammad Rizki Ramadhan Mohammad Hafiz bukan sahaja dilahirkan tidak cukup bulan, malah dikesan mempunyai sindrom ‘bayi biru’ atau masalah kekurangan oksigen sebelum terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurut Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau, pemeriksaan lanjut mendapati, Mohammad Rizqi Ramadhan mempunyai masalah kecacatan jantung yang dikenali sebagai Septum Atrium (ASD) dan Aortopulmonary Window (APW).

Keadaan itu, katanya, menyebabkan bayi tersebut yang dilahirkan ketika usia kandungan ibunya baru mencecah 33 minggu kini hanya seberat 2.32 kilogram (kg) dan masih menggunakan mesin bantuan pernafasan.

“Kini, badannya penuh de­ngan paip peralatan perubatan selepas diletakkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) dan juga diberi minum susu melalui tiub.

“Sehingga sekarang, ibu bapa­nya belum ada peluang untuk mendukung dan mencium bayi mereka,” katanya yang memberi­tahu, dana sebanyak RM80,000 diperlukan bagi membolehkan bayi tersebut menjalani pembedahan jantung segera.

Tambah Sui Hau, pembedahan segera amat penting bagi mengelakkan kemerosotan organ lain dan jangkitan kuman pada paru-paru bayi terbabit.

Terdahulu, katanya, Mohammad Hafiz yang bekerja sebagai ope­rator kilang dengan gaji pokok RM1,500 sebulan mengakui buntu untuk mengumpul kos pembedahan yang tinggi itu sementelah isterinya, Nurul Hayati hanya suri rumah.

Justeru, Sui Hau berkata, mereka telah memohon kepada One Hope Charity & Welfare untuk tujuan itu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi kami menerusi talian 016-4192192, 04-539 9212, 018-911 4192 atau melayari laman sesawang https://www.onehopecharity.org – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya