ENTAH dari mana datangnya, tiba-tiba sahaja nama pasangan penyanyi, Salma Asis dan Azri menjadi buah mulut ramai.
Semuanya gara-gara tular dakwaan kononnya ada satu lagi pasangan selebriti bakal menoktahkan perkahwinan.
Lantas, nama Salma dan Azri turut tersenarai. Ada segelintir beranggapan hubungan mereka berantakan gara-gara jarang berkongsi momen kebahagiaan di media sosial. Jawablah! mendapatkan Salma.
Benarkah rumah tangga mereka ibarat retak menunggu belah? Salma, Jawablah!
Tidak mahu membuang masa, kita tanya terus sahaja. Bila ada dakwaan kononnya terdapat satu pasangan selebriti bakal memfailkan perceraian, tiba-tiba nama Salma dan Azri terpalit sama. Benarkah?
Panas betul soalannya, tak berkias. Semua itu tidak benar. Saya sendiri tidak tahu bagaimana kami boleh terkena tempias dakwaan tersebut. Saya sendiri tidak tahu pasangan selebriti mana.
Alhamdulillah, hubungan kami baik-baik sahaja. Sudah lapan tahun berkahwin, bahagia itu kami yang rasa. Tipulah tidak ada ombak dan badainya. Tetapi Tuhan masih jaga dan rahmati hubungan kami.
Terkesan atau tidak ramai yang memetik nama Salma dan Azri? Macam rumah tangga kalian bermasalah?
Itulah, mereka yang bercakap itu seperti mendoakan yang tidak baik. Kalau tidak suka kami tak apa, tetapi janganlah mengeluarkan kata-kata atau dakwaan yang tidak berasas seperti itu. Tak baik.
Kalau hendak kata terkesan itu, tidaklah sangat. Cuma saya tertanya-tanya, mengapa ada yang sanggup mendoakan perkara buruk berlaku kepada orang lain? Macam duduk serumah pula, tahu semua benda.
Adakah kerana Salma atau Azri kurang berkongsi momen kebahagiaan di media sosial menjadi punca terkena tempias?
Tidak dinafikan, memang saya dan suami tidak mahu terlalu berkongsi urusan rumah tangga di media sosial.
Kami lebih selesa berkongsi cerita tentang kerjaya. Mungkin ada sekali dua sahaja.
Saya sendiri tidak gemar menunjuk kebahagiaan di media sosial. Tak perlu saya tunjuk suami beli itu ini untuk saya.
Penghargaan itu biarlah saya dan dia sahaja yang tahu. Kami tidak perlukan approval orang lain.
Tidak dinafikan, sekarang memang musim pasangan artis bercerai berai. Bagaimana Salma mengekalkan kebahagiaan bersama?
Saya ini memang jarang tengok perkara negatif. Kalau ada berita atau gosip tentang hubungan pasangan lain, saya cepat-cepat skip.
Bukan apa, saya takut untuk melihat dan memberi pandangan. Bukan menyombong atau tidak mahu ambil tahu, cuma saya nak cakap lebih bukan kita yang berada di tempat mereka.
Saya hanya mampu berdoa supaya Tuhan kekalkan kasih sayang dan kebahagiaan ini.
Salma sediri pernah tak berhadapan situasi disondol? Yelah, di kala di sana sini kita mendengar orang mengadu dan mengaku tentang aksi ‘penyondolan’.
Ya Allah! Minta dijauhkan sangat. Setakat ini memang tidak pernah dan saya terus berdoa agar Tuhan jaga hubungan kami.
Tak mahulah, takut! Takut juga kalau hadirnya penyakit ain daripada segelintir yang mungkin tidak senang melihat kami.