HARI ini sudah bermula wukuf. Sudah pasti ramai yang berdebar kerana ada yang baru pertama kali melaluinya selaku tetamu Allah.
Namun haji yang dilihat secara terurat amat mudah difahami tetapi yang tersirat itu lebih mendalam maksudnya kerana ia melibatkan ilmu tasawuf iaitu hakikat sesuatu kejadian.
Segala perbuatan dan pergerakan mempunyai makna tersendiri seperti yang dinukilkan dalam hikayat seorang wali Allah bernama Syibli dengan anak muridnya berkaitan falsafah ibadat haji.
Syibli atau Dulaf ibn Jahdar Abu Bakar al Syibli dikatakan nama beliau ialah Ja’afar ibn Yunus, berasal dari Khurasan dan menetap di Baghdad.
Sebelum beliau menjadi seorang ahli sufi, Syibli pernah menjadi Gabenor Sultan di Basrah.
Syibli mempelajari hadis selama 20 tahun dan pernah duduk bersama fuqaha kira-kira 20 tahun serta mengkhatamkan al-Quran sebanyak 13,000 kali di tempat ibadatnya.
Terkenal sebagai seorang yang kuat bermujahadah sehinggakan beliau menyapu kedua-dua matanya dengan garam untuk menghalangnya daripada mengantuk ketika beribadat.
Beliau meninggal dunia ketika berusia 87 tahun. Kisah Imam Syibli dan anak murid ini dipetik dalam kitab Ittihaf Saadah al Muttaqin bi Syarh Ihya’ Ulum al-Din karangan al-Hafiz Sayyid Muhammad ibn Muhammad al-Zabidi.
Telah berkata Syeikh al-Akbar Ibnu Arabi dalam kitab al-Syari’ah: Berkata seorang sahabat Syibli: “Pada suatu hari, Syibli berkata kepadaku, adakah kamu telah berazam untuk mengerjakan haji? Aku menjawab, “Ya.”
Berkata Syibli: “Adakah dengan azammu itu, kamu telah memasakkan semua azam yang berlawanan dengan azam yang kamu meterai sejak kamu dijadikan? Aku berkata, “Tidak.”
Maka Syibli berkata kepadaku, “Kamu masih belum berazam menunaikan haji.”
Syibli: “Adakah kamu telah menanggalkan pakaian-pakaianmu untuk memakai ihram?”
Aku berkata, “Ya.”
Syibli bertanya, “Adakah dengannya kamu telah mengosongkan dirimu daripada segala-galanya melainkan Allah?”
Aku menjawab, “Tidak.”
Syibli berkata kepadaku, “Kamu masih belum menanggalkan pakaian kamu.”
Syibli: “Adakah kamu telah bersuci?”
Aku menjawab, “Ya.”
Syibli bertanya, “Adakah dengannya telah hilang segala penyakit daripadamu?”
Aku menjawab, “Tidak.” Syibli berkata, “Kamu masih belum bersuci.”
Syibli: “Adakah kamu telah bertalbiah?” Aku menjawab, “Ya”. Adakah kamu mendengar jawapan talbiah berkenaan? Aku menjawab lagi, “Tidak”.
Syibli berkata, “Kamu masih belum bertalbiah lagi.”
Syibli: “Adakah kamu telah memasuki Tanah Haram?”
Aku berkata, “Ya.” Syibli bertanya, “Adakah kamu berjanji semasa memasuki Tanah Haram untuk meninggalkan segala yang diharamkan oleh Allah?”
Aku berkata, “Tidak.”
Syibli dengan tegas berkata, “Kamu masih belum memasuki Tanah Haram.”
Syibli: “Adakah kamu telah menghampiri Mekah?”
Aku pun menjawab, “Ya.” Syibli berkata, “Adakah Allah telah mendekatkan kepada kamu satu hal (anugerah kurniaan Allah) kerana telah menghampiri Mekah?”
Aku berkata, “Tidak.”
Syibli lantas menjawab, “Kamu masih belum lagi memasuki kota Mekah.”
Syibli: “Adakah kamu telah memasuki Masjidilharam?”
Aku menjawab penuh yakin, “Ya”. Adakah kamu telah menghampiri dan mendekati Allah mengikut apa yang kamu ketahui?
Aku menjawab, “Tidak.”
Syibli tersenyum dan berkata, “Kamu masih belum memasuki Masjidilharam.”
Syibli: “Adakah kamu telah melihat Kaabah?”
Aku menjawab, “Ya”. Dia berkata, “Adakah kamu nampak apa yang kamu tujukan (Allah)?”
Aku menjawab, “Tidak.” Dia mencelah, “Kamu masih belum melihat Kaabah.”
Syibli: “Adakah kamu telah berlari anak sebanyak tiga kali dan berjalan sebanyak empat kali semasa tawaf?” Aku menjawab, “Ya.”
Maka dia berkata kepada aku, “Adakah kamu telah lari daripada dunia kerana mengetahui bahawa akan berpisah daripadanya dan memutuskan hubungan kamu dengannya?”
Setelah itu, adakah kamu menemui keamanan setelah berpisah daripada dunia pada empat pusingan yang berikutnya dan bertambah kesyukuran kamu kepada Allah?”
Aku berkata, “Tidak.” Dia berkata, “Kamu masih belum mengerjakan tawaf.”
Syibli: “Adakah kamu telah mengucup Hajar Aswad?
Aku berkata, “Ya.” Maka dia menjerit dan berkata, “Kasihan kamu. Sesungguhnya telah dikatakan bahawa sesiapa yang mengucup Hajar Aswad, maka seolah-olah telah ‘bersalaman’ dengan Allah. Sesiapa telah ‘bersalam’ dengan Allah, maka dia berada dalam keamanan.”
Syibli: “Adakah kelihatan ke atasmu kesan keamanan tersebut?” Aku menjawab, “Tidak.” Dia berkata, “Kamu masih belum mengucupnya.”
Maka persoalan itu ditanya lagi Syibli berkaitan berdiri di belakang Makam Ibrahim, sai, Marwah, Mina, memasuki Masjid Khaif di Mina, Arafah (wukuf), Muzdalifah, melontar, ziarah, bertahalul dan tawaf wida’.
Sehinggalah pada pertanyaan tentang Arafah. Syibli berkata, “Adakah kamu telah memasuki Arafah?” Aku berkata, “Ya.”
Dia berkata, “Adakah kamu telah mengenal tujuan kamu diciptakan kerana-Nya dan hal yang kamu kehendaki serta yang akan kamu tujui? Adakah kamu telah kenal kepada yang mengenalkan kamu terhadap ‘ahwal’ ini dan kamu melihat tempat yang diisyaratkan kerana sesungguhnya Dialah yang menghidupkan segala yang bernafas pada setiap keadaan?”
Aku berkata, “Tidak.” Lantas Syibli berkata, “Kamu masih belum lagi berwukuf di Arafah.”
Apabila sampai kepada pertanyaan, “Adakah kamu telah melontar?” Aku berkata, “Ya.”
Dia berkata, “Adakah kamu telah melontar kejahilan daripada diri kamu dengan bertambahnya ilmu yang zahir ke atasmu?” Aku berkata, “Tidak.” Syibli berkata, “Kamu masih belum melontar.”
Katanya pada akhir perbualan itu, apabila kesemua jawapan itu, “Tidak”, Syibli mengatakan, “Hendaklah kamu kembali mengerjakan haji semula.
Maka lihatlah bagaimana kamu mengerjakan haji selepas ini. Kamu telah mengetahuinya. Apabila kamu pergi mengerjakan haji, maka bersungguh-sungguhlah kamu melakukannya sebagaimana yang telah aku ajarkan kepada kamu.”
Oleh itu, berdasarkan kisah Syibli ini, maka kita sebagai ‘Tetamu Allah’, yang hadir di Tanah Suci itu, hendaklah melepaskan segala kepentingan diri dan benar-benar laksanakan ibadah haji ini dengan penuh ikhlas.
Seperti tertera dalam poster dan kain rentang, “hadirku sebagai dhuyufurrahman, kembaliku dengan kemabruran.” Sama-samalah kita menggapainya. – UTUSAN ONLINE