KUALA TERENGGANU: Rakaman video dan gambar seorang duda berbadan sasa menjual durian yang tular di media sosial bukan gimik atau ‘pelaris’ menarik kehadiran pelanggan.
Peniaga, Amir Syarifuddin Suhaimi, 34, berkata, dia tidak menyangka video dan gambar berkenaan menjadi bualan sehingga menerima kecaman dan komen negatif pengguna di media sosial.
Namum, duda beranak tiga itu mengakui sudah lali dengan cemuhan sambil menganggapnya asam garam dalam bidang perniagaan yang diceburinya sejak usia remaja.
“Rakaman video itu sekadar suka-suka diambil rakan dan ahli keluarga malangnya diperbesarkan netizen yang menganggap saya sengaja menayangkan badan.
“Saya dibesarkan keluarga peniaga di Pasar Kedai Payang dan sejak kecil lagi sudah terbiasa berniaga tidak berbaju. Jadi saya menganggapnya isu remeh dan sudah lali dengan kecaman.
“Lagipun saya memang ahli bina badan dan pernah bergelar Mr. Body Cantik tiga tahun berturut-turut sejak 2017. Namun saya akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tular di media sosial sejak beberapa hari lalu video dan gambar seorang lelaki tidak berbaju menjual durian di Kampung Baru, Seberang Takir dekat Jambatan Angkat di sini.
Walaupun video berkenaan ditonton ratusan ribu pengguna media sosial, Amir Syarifuddin memberitahu, dia memilih untuk bersikap terbuka dan enggan ambil pusing isu berkenaan.
“Ini kali pertama saya berniaga durian dan tidak sangka rakaman suka-suka itu tular kerana saya sendiri sudah terbiasa tidak berbaju,” katanya yang juga pengusaha keropok. – UTUSAN