Dua nenek rugi RM10,000 ditipu 'orang' menteri

Dua nenek rugi RM10,000 ditipu ‘orang’ menteri

SHAIDAH Hamid (kanan) dan Saamah Basri menceritakan kejadian itu di kediamannya di Batu 8 Kampung Asahan, Kuala Selangor, Selangor hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Dua ibu tunggal warga emas kerugian lebih RM10,000 selepas mendakwa diperdaya seorang lelaki yang melarikan barang kemas mereka dengan menyamar sebagai ‘orang’ menteri, baru-baru ini.

Nasib malang itu menimpa Shaidah Hamid, 71, dan Saamah Basri, 72, yang didatangi suspek kononnya diarah menguruskan bantuan kebajikan di Batu 8 Kampung Asahan di sini, 16 Jun lalu.

Menurut Shaidah, ketika kejadian, dia sedang berehat di luar rumahnya sebelum ditegur lelaki tidak dikenali berusia lingkungan 30-an yang memandu Perodua Alza, kira-kira pukul 11 pagi.

BANTUAN

“Lelaki itu kemudian mengaku sebagai ‘orang’ kepada seorang menteri dan mahu menguruskan bantuan makanan dan wang. Tanpa mengesyaki apa-apa, saya kemudian menaiki keretanya menuju ke rumah Saamah yang juga jiran kira-kira 100 meter bagi tujuan sama,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Jelas nenek kepada 30 cicit itu, mereka kemudian dibawa ke pekan Bestari Jaya yang didakwa ‘pejabat’ menteri tersebut sebelum menyerahkan seutas gelang tangan dan dua bentuk cincin serta diarahkan menunggu dekat sebuah restoran berdekatan.

“Setibanya di parkir kawasan itu, lelaki berkenaan mengarahkan semua barang kemas diserahkan kononnya bagi proses timbangan nilai zakat yang bakal diperoleh. Saya yang tidak berfikir panjang menyerahkannya bersama kad pengenalan.

“Namun, kami mula curiga kerana lelaki itu masih tidak muncul selepas lebih sejam menunggu dan mendapati keretanya sudah tiada. Saya benar-benar terkejut dan segera menghubungi jiran untuk mengambil kami yang tiada sesen wang ketika itu,” jelasnya.

Tambahnya, dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada hari sama.

Bagi Saamah yang juga nenek kepada 32 cucu, dia bersyukur mereka terselamat dan tidak diapa-apakan lelaki tersebut.

“Apa yang penting adalah nyawa dan mujur kami tidak ditinggalkan di hutan atau kawasan lain. Saya berharap orang ramai berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa suspek yang licik dan pandai berkata-kata itu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata lelaki berkenaan ditahan pihaknya kira-kira pukul 4 petang semalam.

“Siasatan lanjut masih dijalankan polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya