MAHU kelihatan cantik hingga sanggup mengetepikan kesan sampingan jangka panjang? Masih ramai yang belum memahami secara terperinci mengenai rawatan atau suntikan botox dan filler.
Sebab itu, sebelum mendapatkan apa-apa rawatan berjumpalah dengan pakar terlebih dahulu supaya tidak menyesal di kemudian hari semata-mata kerana terpengaruh dengan iklan dan trend semasa.
APA ITU BOTOX, FILLER?
Menurut Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Peter Ch’ng, suntikan botulinum toxin atau botox pada awalnya digunakan untuk merawat pesakit mata.
Katanya, keberkesanan rawatan itu mendorong botox digunakan untuk estetik dan kosmetik.
“Botox biasanya disuntik di wajah, tetapi ada juga menggunakannya pada bahu dan kaki bagi mengecutkan otot betis selain dahi, keliling mata untuk mengurangkan kedutan serta di bahagian rahang.
“Seperti satu kes seorang kanak-kanak menghidap strok, maka botox digunakan untuk melembutkan ototnya,” ujarnya.
Peter yang juga Pengerusi Lembaga Dermatologi Kosmetik dan Perubatan Laser Malaysia berkata, filler pula berfungsi untuk mengisi apa yang kurang atau hilang.
Katanya, filler yang lazim digunakan ialah hyaluronic acid (HA).
“Kalau tidak sesuai, wajah akan nampak tidak asli terutama bagi mereka yang ketagih melakukan filler. Misalnya, apabila suntikan di bibir kembali normal, pesakit akan menambah lagi sehingga mengubah wajah asal.
“Selain itu, terdapat juga filler lain yang berfungsi membentuk kolagen baharu di samping membantu menghilangkan kedutan statik,” katanya.
BILA PERLU LAKUKAN RAWATAN?
Ujar Peter, keperluan untuk melakukan apa-apa suntikan kecantikan atau estetik tidak bergantung kepada had umur.
“Perlu lihat berdasarkan masalah pesakit. Tidak semestinya umur 20-an langsung tidak perlu buat apa-apa, kerana setiap pesakit lain masalahnya.
“Contoh, ada pesakit remaja yang mempunyai banyak bulu pada bahagian muka sehingga memberi kesan psikologi padanya.
“Jadi, kita mencadangkan rawatan pembuangan bulu kekal secara laser dan jika dibuat dengan betul, tidak ada komplikasi yang akan berlaku,” katanya.
RAWATAN BERBAHAYA
Peter berkata, kedua-dua rawatan perlu dilakukan jika mengganggu psikologi individu.
“Jika pesakit mengadu kedutan membuatkannya nampak tua, maka botox dibenarkan.
“Tetapi saya mahu ingatkan yang setiap empat bulan rawatan itu perlu lakukan semula kerana tidak bersifat kekal,” katanya.
Bagaimanapun, tegas Peter, rawatan yang lebih berbahaya dan memudaratkan ialah filler kerana terdapat komplikasi dan kesan sampingan.
“Filler boleh menyebabkan buta dan strok berbanding botox yang tidak menyebabkan kecatatan, memudaratkan atau mati.
“Kalau suntik filler ke dalam salur darah, ia boleh ke mata dan menyebabkan buta, itu bahaya.
“Ia juga boleh melalui salur darah ke otak dan menyebabkan strok. Malah kulit akan mati dan meninggalkan parut manakala kalau salah suntik salah di dagu pula boleh menyebabkan lidah mati,” ujarnya. -UTUSAN