Bercuti dengan bekas pasangan jadi trend?

Bercuti dengan bekas pasangan jadi trend?

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOLAH-olah jadi trend selepas bercerai tetapi masih bercuti bersama bekas pasangan demi anak. Biarpun tidur berasingan di bilik masing-masing namun pastilah ia ‘tidak manis’ dipandang oleh anak-anak malah orang lain juga.

Menurut Kaunselor Berdaftar, Dr. Rafidah Kastawi, apabila sudah berpisah dan masih bercuti bersama-sama anak meskipun atas alasan untuk menjaga hati anak-anak perlu ada batasannya.

“Apabila sudah bercerai maka tiada pertalian selain hubungan hanyalah kerana anak.

“Menjawab persoalan bercuti bersama bekas pasangan dan anak menjadi trend, ada sesetengah pasangan sebenarnyanya ingin menyembunyikan keadaan sebenar daripada pengetahuan anak-anak atau menjaga hati mereka.

“Boleh jadi untuk menjimatkan perbelanjaan keluarga disebabkan satu pihak mengalami masalah kewangan,” katanya kepada Seri.

Namun ujar Rafidah yang juga Pengasas Terapi Nurani REST, pasangan yang sudah bercerai boleh mengelakkan daripada bercuti bersama dengan memilih tempat yang tidak perlu bermalam.

“Ada beberapa cara yang boleh kita elakkan daripada bercuti bersama. Kita beri ruang kepada anak untuk memilih. Sama ada bercuti dengan ibu sahaja atau hanya dengan bapa. Sekiranya ingin kedua-duanya sekali, di sini apa yang perlu ditegaskan adalah antara ibu dan bapa.

“Boleh sahaja beri cadangan ke tempat makan atau day trip tanpa perlu bermalam. Bagai saya, ini adalah batasan agama yang perlu diikuti oleh ibu dan bapa serta menjadi cerminan kepada anak-anak.

“Kalau kita sudah tahu tiada hubungan tetapi masih bercuti bersama menunjukkan kemesraan yang tidak sepatutnya, itu lebih melukakan hati anak. Anak-anak akan bertanya kenapa berlakunya perceraian jika boleh bermesra sebegitu.

“Jadi, kalau kita jelaskan langkah-langkah sepatutnya mengapa ibu bapa perlu ada ‘gap’ dan tidak boleh bercuti bersama maka anak-anak akan memahaminya,” jelasnya.

Rafidah berkata, secara tidak langsung ibu bapa dapat mendidik anak untuk patuh pada syariat dan undang-undang serta hukum-hakam agama.

“Walaupun kita sayang anak tetapi ada cara untuk memenuhi kehendak mereka tetapi perlu utamakan agama atau suruhan Allah SWT. Jadi, pilihlah tempat yang tidak perlu bermalam lebih baik bagi menjaga batasan,” tuturnya.

BERLAKON UNDANG LEBIH BANYAK PENIPUAN

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Abdul Basir Mahadi @ Mohamad menjelaskan, hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah sama seperti dua orang yang ajnabi (asing) berlainan jantina berjumpa.

“Berkenaan hukumnya, ia perlu melihat kepada keperluan. Sekiranya tidak ada keperluan, sedangkan perjumpaan membawa kepada memandang, berkhalwat dan bercakap secara mesra antara satu sama lain, maka tidak dibenarkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 30.

“Justeru pasangan yang telah bercerai tidak boleh dan haram tinggal bersama sebumbung atau serumah yang menyebabkan terdedah aurat masing-masing walaupun demi anak-anak sebab mereka sudah dikira sebagai ajnabi (asing),” ujarnya.

Tambah Abdul Basir, perbuatan berlakon masih suami isteri depan anak-anak adalah cara yang hanya mengundang lebih banyak lagi penipuan pada masa akan datang.

“Sebaiknya, suami atau isteri atau kedua-duanya perlu berhadapan dengan anak-anak dan jelaskan keadaan sebenar mengenai hubungan semasa antara mereka dengan cara yang terbaik.

“Berlakon sementara dibimbangi akan menyebabkan ibu dan bapa kepada anak-anak tersebut berbohong terus-menerus kepada anak-anak mereka,” katanya.

Bagaimanapun, ujar beliau, pihak-pihak yang terlibat iaitu bekas suami mahupun isteri boleh mengambil pendekatan seperti apabila berlaku perceraian dan sudah disabitkan jatuh talak oleh mahkamah maka bekas suami dan bekas isteri perlu tinggal berasingan.

“Namun mereka diharuskan berjumpa disebabkan suami masih lagi memiliki tanggungjawab terhadap anak-anak dari sudut nafkah dan pendidikan.

“Pastinya, itu akan membawa kepada hubungan muamalat yang melibatkan perjumpaan dan perbualan dengan bekas isteri yang merupakan penjaga bagi kanak-kanak tersebut. Justeru berjumpa dan berbual dengan bekas isteri bagi tujuan maslahat anak adalah diharuskan.

“Maka mereka perlu menghindari berdua-duaan kerana mereka adalah ajnabi. Wajib terdapat orang ketiga yang boleh menemani sama ada mahram bagi bekas isteri atau wanita Muslim yang diyakini boleh menegah mereka daripada melakukan perzinaan,” katanya.

Selain itu, salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya perlu menjelaskan kepada anak bahawa mereka bukan lagi suami isteri tetapi masih sebagai ibu dan bapa malah hak penjagaan anak-anak diberikan kepada ibu kecuali mahkamah mendapati si ibu tidak mampu menjaga anak-anak.

“Namun perlu diingatkan bahawa si bapa jangan culas daripada menunaikan tanggungjawab memberi nafkah anak-anak yang berada di dalam jagaan ibu mereka,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya