Belia dalam sektor perladangan digalak ceburi bidang penyelidikan - Utusan Malaysia

Belia dalam sektor perladangan digalak ceburi bidang penyelidikan

FADILLAH Yusof (tengah) bergambar bersama ahli Alumni GPMS pada Majlis Sembang Santai Alumni GPMS di Kuala Terengganu, malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan menggalakkan golongan belia yang berkecimpung dalam sektor perladangan supaya menceburi bidang penyelidikan untuk memanfaatkan kemajuan teknologi mekanisasi dan automasi dalam sektor tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, hasil penyelidikan itu, belia terlibat dapat mengendalikan teknologi sedia ada dan berupaya mencipta teknologi baharu.

Menurutnya, penggunaan teknologi baharu dan moden itu juga dapat menarik belia berminat dan berkecimpung dalam sektor perladangan.

Katanya, perkara itu terbukti apabila Sime Darby Plantation mampu menggaji 70 peratus pekerja tempatan kerana menggunakan teknologi mekanisasi.

“Mereka juga (belia) digalakkan terlibat dengan penyelidikan supaya bukan saja tahu menggunakan mesin tapi boleh mencipta mesin yang sesuai dalam sektor perladangan, tak kiralah kelapa sawit, getah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sembang Santai bersama Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini, malam ini.

Sebelum ini, KPK telah menubuhkan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) yang merupakan institusi induk berperanan untuk menerajui serta menyelaras kursus dan program latihan kemahiran pusat latihan agensi-agensi di bawah satu organisasi.

Ia melibatkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata, pada masa ini, pembabitan golongan muda dalam sektor perladangan masih rendah.

“Salah satu cabaran negara adalah banyak bergantung kepada pekerja asing dalam sektor perladangan, justeru strategi perlu disusun agar lebih banyak golongan muda terutama generasi kedua peladang berminat untuk meneruskan legasi mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya