KUALA NERUS: Seramai 20,000 peminat Harimau Malaya dijangka hadir memberi sokongan bertemu Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini, Rabu ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, kehadiran ‘ekor’ sejati Harimau Malaya diharap memberi tonik tambahan buat anak-anak buah Kim Pan-Gon.
Menurut beliau, setakat ini hampir 5,000 keping tiket berharga RM30 telah terjual berbaki dua hari sebelum perlawanan Tier 1 menentang negara di kedudukan ke-134 dunia itu.
“Lazimnya penyokong mendapatkan tiket pada saat-saat akhir dan kita jangkakan lebih 20,000 boleh membanjiri SSMZA yang berkapasiti maksimum 30,000 orang itu.
“Pelbagai usaha telah dirancang bagi menarik kedatangan penonton melalui Festival Harimau Malaya (FHM) bermula 14 sehingga 20 Jun,” katanya pada majlis bersama penaja FHM di sini, hari ini.
Noor Azman menjelaskan, penganjuran FHM juga bertujuan merapatkan badan induk itu bukan sahaja dengan peminat bola sepak di Pantai Timur bahkan bekas pemain kebangsaan.
Jelas beliau, turut diadakan sepanjang seminggu penganjuran FHM adalah Sesi Townhall Bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin di sebuah hotel pada Khamis.
Selain itu, turut berlangsung perlawanan amal bekas pemain kebangsaan dan Terengganu, ziarah kasih, pertandingan bola sepak peringkat umur serta pameran dan jualan makanan saji.
“Dijangka lebih 100,000 pengunjung memeriahkan festival di perkarangan stadium ini selain turun ke perlawanan bertemu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea (20 Jun).
“Penganjuran FHM juga diramal memberi limpahan ekonomi lebih RM4 juta kepada penduduk setempat sekaligus memberi impak kepada industri pelancongan sukan,” tambahnya. – UTUSAN