Ulang tahun ke-77: UMNO perlu kembali menjadi parti rakyat - Utusan Malaysia

Ulang tahun ke-77: UMNO perlu kembali menjadi parti rakyat

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: UMNO perlu kembali menjadi sebuah parti yang memberi khidmat kepada rakyat sekiranya mahu rakyat memberi sokongan sepenuhnya kepada parti itu terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Veteran politik, Tan Sri Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, UMNO berjaya menjadi sebuah parti yang besar pengaruhnya kerana kekuatan parti itu yang sentiasa mengutamakan khidmat kepada rakyat.

”Mengenang kembali perjalanan UMNO selama 77 tahun ini, saya melihat jatuh bangun UMNO dan apa yang dihasratkan ialah biarlah UMNO menjadi satu parti yang berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

”UMNO perlu mengutamakan rakyat dengan menjadi sebuah parti yang berkhidmat hanya untuk rakyat, bukannya kepada golongan tertentu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia sempena ulang tahun UMNO ke-77 hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yussof berkata, UMNO juga perlu mempertahankan kedudukan orang Melayu daripada diganggu atau digugat oleh sebarang anasir luar.

Selain itu, jelasnya, UMNO juga perlu mengutamakan perpaduan antara kaum yang menjadi teras kepada keharmonian negara selama ini.

”Kesemua elemen-elemen ini adalah asas perjuangan yang perlu UMNO pertahankan dan teruskan untuk memastikan parti ini diterima rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, PRN yang bakal berlangsung di enam buah negeri tidak lama lagi bakal menjadi medan ujian buat UMNO untuk melihat sama ada parti itu masih diterima rakyat atau tidak.

”Pilihan raya umum yang terdahulu tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai prestasi UMNO dalam arena politik negara ini.

”Tetapi PRN akan datang bakal menjadi medan ujian bagi UMNO, jadi UMNO perlu bergerak sekarang dengan memperbanyakkan program-program untuk mendekati rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya