Tuan mohon maaf, kucing licik curi puluhan barang berharga milik jiran - Utusan Malaysia

Tuan mohon maaf, kucing licik curi puluhan barang berharga milik jiran

Harry (kiri) dan Luna mungkin kelihatan seperti kucing biasa tetapi kedua-duanya merupakan pencuri yang prolifik.-AGENSI/FB DONNA HIBBERT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG wanita terpaksa membuat permohonan maaf di laman Facebook selepas kucing peliharaannya mencuri puluhan barang bernilai ratusan pound milik jiran-jirannya.

Si kucing licik yang diberi nama Harry dilaporkan sering merayau di kawasan kejiranan Darley Abbey, di Derby.

Sepanjang empat tahun lalu, kucing itu membawa pulang timbunan barangan curi di mulut dan tangannya termasuk dompet, sosej dan pakaian dalam wanita.

Pemilik kucing itu, Donna Hibbert berkata, Harry sangat cekap mencuri di bahagian kawasan cucian dan ampaian kawasan kejiranannya.

“Saya terpaksa mengakui kucing saya adalah seekor pencuri profesional dan sudah membawa pulang banyak barangan yang saya percaya milik jiran-jiran di sekitar kawasan rumah saya selama bertahun-tahun. Ada topi besbol, sosej, daging, selipar, stoking dan juga kasut.

“Saya sering tertanya-tanya sama ada sesiapa pernah melihat Harry berlari bersama-sama dengan barang-barang sedemikian di dalam mulut atau di tangannya,” kata Hibbert.

Hibbert berpendapat, Harry mungkin menganggap barang-barang yang dicuri itu sebagai hadiah kepada tuannya.

Hibbert memberitahu portal BBC seekor lagi kucingnya yang diberi nama Luna turut melakukan perkara sama namun cenderung memilih kotak rokok kosong dan paket kentang.

Malah wanita itu sempat berkongsi gambar-barang-barang yang dicuri Harry di laman Facebook dan berharap dapat memulangkan semula barang-barang tersebut kepada pemiliknya.

“Saya fikir lebih baik saya menyiarkan ‘hadiah-hadiah’ ini di sini kerana mungkin akan ada jiran-jiran yang sedang mencari barang mereka dan terpikir mereka tersalah letak tetapi sebenarnya tidak.

“Anda tidak salah sebaliknya yang bermasalah adalah kucing saya. Saya benar-benar memohon maaf. Jika barang-barang itu milik anda dan mahukannya kembali, sila hubungi saya,” jelas Hibbert pada kapsyen gambar yang dimuat naik di laman Facebook Isnin lalu.

Hibbert berkata, jiran-jirannya sudah mula tampil untuk menuntut barang mereka yang hilang selepas dia turut berkongsi maklumat itu di halaman Facebook kawasan kejiranannya.

Menurut Hibbert, nilai barangan curi itu mencecah sekitar 300 pound (RM1,676).

“Terdapat kasut tumit tinggi berwarna merah daripada jenama yang agak mahal.

“Pakaian dalam sukan jenama M&S juga bukan murah. Pernah juga Harry membawa pulang dompet  tetapi tiada apa di dalamnya. Jelas Harry mempunyai citarasa yang tinggi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya