Terjebak cinta dua darjat

Terjebak cinta dua darjat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBEZAAN dua darjat dalam percintaan sering menjadi pilihan untuk diketengahkan sebagai plot yang melatari drama mahupun filem.

Sejak dari zaman Antara Dua Darjat arahan dan lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee hinggalah ke hari ini episod dua darjat tidak pernah berakhir.

Begitu juga kisah percintaan antara Zainuddin dan Hayati nukilan Buya Hamka bertajuk Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bukan kisah percintaan luar biasa.

Minggu ini saya kongsikan kisah Anne (bukan nama sebenar) yang terjebak dalam cinta dua darjat versi moden.

Kata Anne, dia dan Azman melalui kisah percintaan yang sangat panjang sebelum menikmati kebahagiaan seperti hari ini.

Bermula daripada hubungan terlarang, perkahwinan tidak direstui sehinggalah pelbagai rancangan diatur keluarga suami untuk memastikan rumah tangga mereka runtuh. Kuat jodoh mereka.

Usia perkahwinan mencecah tujuh tahun pada pertengahan Jun ini, Anne dan Azman kekal bahagia bersama dua anak.

Menceritakan hubungan cintanya dengan Azman sehinggalah membawa kepada jinjang pelamin itu, kata Anne perkenalan mereka bermula sejak di sekolah menengah.

Ketika itu, dia dan Azman sama-sama menuntut di sekolah asrama penuh di Perak.

Selepas tamat tingkatan lima, keduanya mendapat tawaran menyambung pengajian di Australia selama lima tahun.

Mereka juga berjanji untuk membawa hubungan ke peringkat yang lebih serius selepas tamat belajar.

Ternyata kebimbangan Anne selama ini tentang hubungan mereka yang tidak setaraf benar-benar menjadi kenyataan.

Ketika pertemuan kali pertama diatur bersama ibu bapa Azman, mereka menolak Anne secara terang-terangan.

Pelbagai alasan diberikan dan salah satunya mereka sudah ada wanita lain untuk dijodohkan dengan Azman.

Hakikatnya, Anne tahu dia tidak disenangi kerana darjat.

Ibu bapanya hanya orang kampung dan bukan berkerjaya seperti mereka.

Bapa mentua seorang ahli perniagaan terkenal , manakala ibu mentua merupakan seorang penjawat awam berpangkat tinggi yang tidak menyenangi latar belakang keluarga Anne .
Sedangkan kata Anne, bapanya hanya seorang petani dan ibunya pula surirumah.

Cerita Anne lagi, walaupun hubungan mereka tidak direstui Azman tidak pernah berputus asa.

“Azman bertemu ayah dan ibu di kampung dan menyatakan hasrat untuk memperisterikan saya.

“Ketika itu, ibu dan ayah terpaksa menolak dengan alasan enggan menjadi punca hubungan Azman dan ibu bapa putus.

“Walaupun sedih dan kecewa, saya pasrah ketika itu. Bagaimanapun saya tetap meletakkan kepercayaan dengan soal jodoh yang ditetapkan Allah,” cerita Anne.

Namun, kerana cinta mereka kuat, selang sebulan selepas pertemuan dengan orang tuanya, keluarga Azman menghantar wakil meminang Anne.

Akhirnya, mereka disatukan dengan persetujuan yang berat daripada keluarga Azman.

Raut wajah kurang senang ditunjukkan keluarga Azman ketika majlis perkahwinan berlangsung secara sederhana.

Selepas berkahwin bermulalah episod duka dalam hidup Anne.

Menyedari tidak diterima dalam keluarga suami, pelbagai cara dilakukan Anne untuk memikat hati mereka terutama ibu mentua.

Ini termasuk bersetuju dengan cadangan suami untuk tinggal sekali di rumah keluarganya.

Sepanjang tempoh tinggal bersama, ada sahaja yang tidak kena di mata keluarga suami.

“Mujurlah saya bekerja. Pergi awal pagi, pulang selepas matahari terbenam. Kami agak jarang bertemu kecuali pada hujung minggu,’’ ujarnya.

Kata Anne, campur tangan ipar duai yang tinggal serumah mengeruhkan lagi keadaan.

Kakak ipar yang sejak awal tidak menerimanya masuk dalam keluarga mereka sentiasa mencari jalan agar ibu mentua terus membencinya.

Berbeza dengan bapa mentua yang tidak terlalu campur tangan dalam hal keluarga, sebaliknya sibuk dengan urusan syarikat.

Sepanjang tempoh berkahwin, pelbagai usaha dilakukan keluarga mentuanya untuk meruntuhkan rumahtangga mereka.

Ini termasuk cuba menyakiti hatinya dengan memperkenalkan Salina (bukan nama sebenar) untuk dijodohkan dengan Azman sebagai isteri kedua.
Bahkan, ibu mentua sering mendesaknya agar meminta cerai daripada suami jika tidak menerima Salina sebagai madu.

Menurut Anne, apa yang berlaku sepanjang rumahtangganya tidak pernah diceritakan kepada ibu dan ayah.

Namun, sebagai orang tua, sedikit sebanyak mereka dapat merasai apa yang dilalui.

“Ibu dan ayah sering menasihatkan saya agar sentiasa bersabar menempuhi ujian dan dugaan dalam rumahtangga.

“Selain suami dan anak-anak, ibu dan ayah adalah kekuatan saya untuk terus melalui semua itu.

Alhamdulilah, seteruk-teruknya keluarga suami melayan saya, tidaklah sampai mereka membomohkan saya,” ujar Anne berseloroh.
Menurut Anne, sejak bapa mentuanya meninggal dunia awal Mac lalu akibat serangan jantung, sikap ibu mentua berubah dan egonya hilang sedikit demi sedikit.

Walaupun tidak mesra dan rapat, Anne percaya satu hari nanti wanita itu akan berubah untuk menerimanya sebagai menantu.

Kebetulan ibu mentuanya juga sudah pencen dan masanya banyak dihabiskan dengan menghadiri majlis-majlis keagamaan.

“Dalam setiap sujud, saya sering berdoa agar Allah menguatkan ikatan cinta kami suami isteri, dalam masa sama melembutkan hati ibu mentua untuk menerima saya dalam hidupnya,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.

Dalam al-Quran sendiri, sifat sabar memiliki kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam dan tentunya orang-orang sabar memiliki kedudukan yang istimewa di mata Allah SWT.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Baqarah ayat 153: “Hai orang-orang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya