Sukan SEA Kemboja jadi rekod terburuk?

Sukan SEA Kemboja jadi rekod terburuk?

KONTINJEN Malaysia ketika perarakan pembukaan Sukan SEA Kemboja 2023.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejarah ‘hitam’ di pentas Sukan SEA akan berulang buat kontinjen negara yang ketika ini sedang berhempas pulas untuk memenuhi sasaran 40 pingat emas dengan saingan berbaki tiga hari sahaja lagi.

Biarpun masih belum menekan butang ‘panik’ sasaran 40 pingat emas yang diletakkan kepada kontinjen negara dilihat sukar untuk dipenuhi selepas beberapa acara diharapkan terlepas peluang untuk bergelar juara di temasya dwitahunan itu.

Pencapaian Malaysia pada Sukan SEA Vietnam disifatkan sebagai terburuk sejak temasya itu diperkenalkan pada 1959, apabila mengakhiri cabaran pada kedudukan keenam keseluruhan dengan membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, beliau sudah membuat perkiraan dan dijangka kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja hanya berpeluang meraih kira-kira 35 pingat emas sahaja menjelang hari terakhir temasya pada 17 Mei ini.

Katanya, sekiranya gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan, ia merupakan pencapaian terburuk dan akan menjadi sejarah hitam buat kontinjen Malaysia yang menghantar kontinjen besar pada temasya kali ini, terdiri daripada 676 atlet.

“Jika dilihat daripada prestasi semasa, satu lagi sejarah hitam akan berulang buat Malaysia di temasya Sukan SEA. Pertama, kita kemungkinan tidak capai sasaran, kedua kedudukan kita dalam senarai pungutan pingat ketika ini, lebih teruk daripada edisi lalu.

“Situasi ini berlaku disebabkan beberapa sukan yang kita kuasai dan kita harapkan tidak menyerlah kerana keputusan untuk menghantar atlet muda yang kurang berpengalaman dan tidak bersedia sepenuhnya untuk membawa cabaran negara.

“Memang bagus untuk hantar atlet muda kerana mereka masa depan negara tetapi, persoalannya adakah atlet muda ini dipersiapkan dengan sewajarnya. Pada temasya kali ini, kita menampilkan 387 orang atau 56.33 peratus atlet berusia bawah umur 23 tahun.

“Daripada jumlah itu, 65 peratus membuat penampilan pertama di Sukan SEA. Memang betul ada atlet muda yang cemerlang macam di olahraga dan terjun tetapi hanya berapa orang sahaja daripada jumlah keseluruhan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, Pekan berkata, kegagalan Malaysia menguasai acara lubuk emas seperti badminton dan hoki dalam dewan ternyata mengecewakan peminat sukan tanah air dan kegagalan itu perlu diperhalusi di mana silapnya.

“Kena cari apa punca sebenarnya, badminton kita tewas kepada pasukan kerdil Filipina. Kekalahan yang tidak masuk akal ketika kita merupakan kuasa besar dalam sukan ini. Ia menjadi tamparan hebat untuk kontinjen negara pada edisi kali ini.

“Kita tewas kepada Indonesia dan Thailand untuk hoki dalam dewan lelaki dan wanita, bagi saya ini disebabkan sikap kita sendiri yang memperlekehkan kemampuan negara lain dan terlalu yakin sehingga memakan diri selain dimalukan,” katanya.

Ketika ini, kontinjen negara berada di kedudukan ketujuh dalam senarai kutipan pingat di belakang Filipina dan Singapura dan situasi itu seolah-olah Malaysia ketika ini setaraf dengan Laos, Myanmar dan Brunei.

Pencapaian terbaik kontinjen negara di pentas Sukan SEA ialah pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur apabila muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 92 pingat emas dan 86 pingat gangsa.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya