PETALING JAYA: Prestasi pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Piala Sudirman 2023, menambah keyakinan penyokong terhadap pencapaiannya dalam kejohanan itu, baru-baru ini.
Meskipun Malaysia tewas di separuh akhir tetapi skuad itu berjaya mencapai sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mara ke separuh akhir.
Begitupun, perkara yang lebih membanggakan adalah kejayaan pemain berusia 25 tahun itu mempamerkan permainan yang mengagumkan dalam kelima-lima aksi di kejohanan tersebut.
Bekas pemain kebangsaan, Roslin Hashim berkata corak permainan yang dimiliki Zii Jia menampakkan perubahan ketara dalam kejohanan dwitahunan itu, berbanding prestasinya sebelum ini terutama apabila kedudukannya jatuh lima anak tangga dari No. 3 ke No. 8 dunia.
“Daripada segi kecergasan, setakat ini dia memang bagus. Tak nampak dia letih atau penat semasa bermain. Kemudian, daripada segi corak perlawanan pun berbeza, ketenangan dia ketika beraksi.
“Kita pun boleh nampak cara dia bermain pun dah lain, nampak seperti Lee Zii Jia yang dahulu. Dengan serangan yang dilakukan, dia nampak tenang. Dia tak banyak buat kesalahan, mampu atasi kelemahannya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berpuas hati dengan semangat kepahlawanan yang dipamer skuad negara dalam kejohanan berpasukan di Suzhou, China itu, meskipun tidak menyangkal bahawa kekalahan pasangan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berkemungkinan disebabkan kurang rehat.
“Kita punya persediaan dah berbeza, ada positif. Saya rasa pemain… kecuali semalam (Sabtu), kita bukan cakap kurang rehat tetapi sebab kita main sampai malam (suku akhir) kemudian kita main pagi (separuh akhir), tetapi saya berikan penghargaan kepada semua pemain.
“Aaron wai yik, saya setuju kekurangan mereka ketika lawan korea itu memang tidak menunjukkan mereka sebagai pemain yang kita harapkan tetapi itulah permainan.
“Bagi saya persembahan mereka cukup baik, semasa lawan India, Denmark… Jadi ini sesuatu yang harus kita berjaga-jaga apa yang harus kita buat kepada mereka dalam Masters Malaysia nanti,” katanya.