PETALING JAYA: The Royal Selangor Golf Club (RSGC) akan menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Golf Jemputan Remaja edisi ke-8 yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel).
Kejohanan berprestij yang akan berlangsung pada 7 hingga 9 Jun bersesuaian dengan misi SportExcel untuk memperkasakan dan memberi inspirasi kepada remaja dalam bidang olahraga dan akademik.
Dengan kerjasama ini, RSGC mengalu-alukan pemain remaja golf elit Malaysia untuk menyertai kejohanan tersebut dengan objektif utama meneruskan perjalanan dan komitmennya menyokong pembangunan golf remaja.
Pertandingan ini telah beralih daripada acara terbuka kepada acara jemputan supaya pemain elit remaja berpeluang beraksi dengan cemerlang di kelab golf premier yang bersejarah dan tertua di Malaysia.
Pemain elit SportExcel, juara negeri dan kelab, dan pemain terbaik serantau dijemput untuk menyertai kejohanan ini khususnya lelaki dan perempuan 18 tahun ke bawah.
Kejohanan ini terbuka kepada pemain handicap USGA 10.6 dan ke bawah untuk kategori remaja lelaki dan handicap USGA 13.4 dan lebih rendah untuk kategori remaja perempuan.
“Kami amat berbesar hati untuk sekali lagi mengalu-alukan rakan-rakan dari seluruh Malaysia dan di seluruh rantau ini untuk satu lagi edisi Kejohanan Golf Jemputan Remaja RSGC-SportExcel 2023.
“Ini adalah tahun kelapan kejohanan tahunan ini dianjurkan dan ia merupakan acara yang istimewa bagi kami, kerana ia akan menjadi kerjasama pertama kami dengan SportExcel sebuah badan rasmi yang menyokong dan mempromosikan sukan golf remaja di Malaysia,” kata Pengerusi Jawatankuasa Golf RSGC dan Pengerusi Penganjur Kejohanan Golf Jemputan Remaja RSGC-SportExcel Ke-8, Ezani Abu Bakar.
Pemain golf remaja yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Kejohanan tersebut boleh mendaftar di http://jao.thersgc.com/ dan penyertaan akan ditutup pada 17 Mei ini-UTUSAN ONLINE