Romantis hilang lepas kahwin, masa bercinta lebih berpura-pura

Romantis hilang lepas kahwin, masa bercinta lebih berpura-pura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU ada anugerah teman lelaki terbaik di dunia, dengan mudah gelaran itu direbut semua kaum adam.

Setiap kali hari lahir, sejambak bunga bersama coklat dihadiahkan kepada kekasih. Itu tidak termasuk yang dikirimkan saban hari apabila teman wanita merajuk.

Malah, sanggup berjaga malam untuk bercakap di telefon. Sedangkan, sebelum aktiviti bergayut berjam-jam itu, seharian saling berbalas mesej di aplikasi WhatsApp.

Tetapi, itu semua semasa bercinta, apabila sudah berkahwin segala sifat romantik yang menjadi amalan dan kepakaran lelaki selama ini lenyap sekelip mata.

Kaunselor Perkahwinan dan Keluarga, Hushim Salleh berkata, situasi itu berlaku kerana kaum adam lebih banyak berpura-pura ketika dalam percintaan.

“Fasa bercinta berjumpa cuma tiga jam semasa dating (janji temu), jadi lelaki boleh ‘berlakon’ romantik.

“Selepas kahwin, semua perangai sebenar terbongkar sebab sudah tinggal serumah, mana mungkin mereka boleh berlakon lama-lama di depan pasangan,” katanya kepada Seri.

Hushim turut mengakui kebanyakan lelaki Malaysia bukan sahaja tidak romantik selepas berumahtangga, bahkan berterusan dingin terhadap pasangan masing-masing.

Paling menyedihkan, katanya, romantis dalam rumahtangga itu hanya muncul semula apabila suami mahu melakukan hubungan seks dengan isteri.

Jelasnya, perubahan sikap sebanyak 360 darjah itu tentunya mengejutkan dan mengecewakan wanita ketika usia perkahwinan belum pun mencecah enam bulan.

“Banyak kes yang saya kendalikan, isteri rasa seolah-olah dianggap sebagai pelacur atau hamba seks oleh suami sendiri kerana tiada lagi layanan romantis seperti zaman bercinta.

“Apabila isteri mahu pegang tangan, cepat-cepat ditarik, kalau peluk pula dibentak kononnya rimas, jadi apa makna perkahwinan itu?” soalnya.

Hushim berkata, kedinginan dalam rumah tangga memberi kesan emosi dan mental kepada pasangan yang tidak dihargai, sekali gus mampu membawa kepada keruntuhan institusi itu.

Justeru, katanya, tidak hairanlah apabila ramai pasangan memilih bercerai pada awal tempoh perkahwinan.


KASIH SAYANG BOLEH PUDAR

Sementara itu, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, kasih sayang isteri boleh pudar jika berlarutan tidak dihargai suami.


Katanya, kasih sayang ibarat pokok yang perlu sentiasa dijaga, disiram dan dibaja kerana ia merupakan lambang romantis dalam rumahtangga.

“Kepada saudara sesama Islam pun kita disaran meluahkan rasa sayang, apatah lagi kepada pasangan. Tidak perlu luahkan rasa itu selalu tetapi sesekali mesti ada.

“Jika tarikh penting dilupakan suami, tiada luahan kasih di samping tindakan kasar kepada isteri, tidak mustahil kasih sayang sesama mereka boleh pudar,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, ramai lelaki bersikap ‘kayu’ dan tidak romantik selepas berkahwin kerana menganggap sudah tiada keperluan untuk berbuat demikian.

ISTERI PERLU MULA LANGKAH GODA SUAMI
Suzana berkata, golongan isteri perlu memainkan peranan menggoda suami bagi mengembalikan semula suasana romantis seperti sebelum berkahwin.

Katanya, antara yang boleh dilakukan ialah menerusi sentuhan, belaian dan pelukan di samping kiriman mesej-mesej cinta.

“Apabila sudah dimulakan, cakap elok-elok pada suami yang anda mahukan tindakan sama. Jangan perli, sindir atau marah-marah termasuk mengungkit sesuatu perkara kerana ia merupakan pantang besar bagi lelaki.

“Contohnya cakap pada suami ‘abang ingat tak dulu-dulu selalu suapkan saya makan, saya nak macam tu lagi’. Beritahu dalam nada menggoda. Tetapi kalau respon suami negatif dan berbaur perli, jangan pula sentap dan mesti kekal tenang.

“Lelaki memang suka digoda, jadi gunakan kuasa anda untuk menggoda suami sendiri. Lakukan dalam tempoh tiga bulan dan luahkan hasrat anda, percayalah suami akan jadi romantik semula pada isteri,” katanya.

ROMANTIS DIBINA DENGAN TANGGUNGJAWAB
Bagi Pakar Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Dr. Robiah K. Hamzah berkata, romantis akan ‘mati’ jika suami gagal bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anak di samping tidak memberikan hak yang sepatutnya.

Katanya, dunia percintaan merupakan fasa angan-angan dan impian, jauh bezanya dengan perkahwinan.

“Nak dapat aura romantis yang sama seperti sebelum berkahwin memang mustahil dan tidak boleh jumpa.

“Kerana ia tidak datang tiba-tiba, sebaliknya dibina dengan tanggungjawab, kerjasama dan niat untuk memperbaiki kehidupan ke arah lebih baik serta diredai Allah,” katanya. –UTUSAN


TIPS ROMANTIK KE AKHIR HAYAT

-Buat peringatan di telefon pintar untuk mengingat tarikh-tarikh istimewa
-Buat kejutan pada tarikh-tarikh istimewa. Tidak perlu hadiah yang mahal tetapi bermakna disusuli dengan kiriman kata-kata meruntun jiwa.
-Keluar dating berdua dengan isteri. Cari masa sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan dan lakukan apa sahaja aktiviti bersama.
-Tolong isteri dalam kerja-kerja rumahtangga.
-Utamakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya