PRN: PKR sifatkan 'gelombang hijau' di P. Pinang semakin lemah - Utusan Malaysia

PRN: PKR sifatkan ‘gelombang hijau’ di P. Pinang semakin lemah

NORLELA ARIFFIN (tengah) dan Mohd. Zaidi Mohd. Said (empat dari kanan) serta ahli-ahli PKR dan UMNO lain pada majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama DUN Penanti di Dataran Rakyat Taman Guar Perahu, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan kekuatan ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan dengan kebangkitan Perikatan Nasional (PN) semakin lemah menjelang pilihan raya negeri (PRN) itu akan datang khususnya di Permatang Pauh.

Malah, Ketua Penerangan PKR negeri, Senator Amir Md. Ghazali mendakwa, gelombang hijau seperti yang sering digembar-gemburkan itu tidak lagi kelihatan dan menyifatkan akan lenyap pada PRN kelak.

Ini kerana, jelas beliau, kekuatan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO dilihat semakin kuat, malah sokongan padu yang ditonjolkan menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan juga kian meningkat.

“Seandainya kerusi DUN Penanti tidak diwakili calon PKR sekali pun, kita akan tetap bersedia untuk memberikan kerjasama terbaik bagi membantu calon UMNO memenangi kerusi yang dipertandingkan asalkan Kerajaan Perpaduan kekal mentadbir negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama DUN Penanti di Dataran Rakyat Taman Guar Perahu, di sini semalam.

Yang hadir sama,, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said; Setiausaha PKR negeri, Datuk Zulkefly Saad dan ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin.

Sementara itu, Mohd. Zaidi berkata, suasana muhibah dapat dirasai menerusi jalinan kerjasama antara UMNO dan PH dalam memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“Ini merupakan detik bersejarah kerana sebelum ini, pasti ada saja ketegangan yang berlaku setiap kali berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU).

“Saya bersyukur kerana suasana yang dirasai kini lebih muhibah sekali gus membuktikan kesediaan kita mendepani PRN kali ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya