PHNOM PENH: Skuad terjun negara terus menepati sasaran untuk menjadi ‘lubuk emas’ kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023.
Kini tiba giliran penerjun muda wanita negara, Lee Yiat Qing merangkul emas dalam acara 10 meter platform selepas mengumpul 253.80 mata pada aksi di Pusat Akuatik Morodok Tech, sebentar tadi.
Kejayaan diraih penerjun berusia 15 tahun itu, mengekalkan emas yang dimenangi Datuk Pandelela Rinong edisi lalu, malah mempertahankan pingat yang didominasi Malaysia dalam sembilan edisi temasya dwitahunan berkenaan.
Dalam pada itu, penerjun Vietnam, Bui Thi Hong Giang meraih perak dengan mengutip markha keseluruhan 242.20 mata dan Gladies Lariesa Garina Haga dari Indonesia melengkapkan kedudukan podium (228.00).-UTUSAN