Pegangan bebas atau pajakan? - Utusan Malaysia

Pegangan bebas atau pajakan?

TERDAPAT perbezaan di antara hartanah pegangan bebas dan pajakan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebelum membeli rumah, pembeli harus tahu tentang perbezaan antara hartanah berstatus pegangan bebas atau pajakan (bagi hartanah yang mempunyai geran individu dan strata) supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Hartanah berstatus pegangan bebas atau hak milik kekal adalah hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh pemilik hartanah tanpa ada sebarang campur tangan daripada pihak kerajaan.

Memetik laporan arifhussin.com, sebelum hartanah pegangan bebas bermaksud milikan tanpa had tempoh di mana ia akan dinyatakan pada muka surat pertama geran hartanah.

Secara amnya, proses pindah milik hartanah pegangan bebas adalah lebih mudah dan cepat.

Hartanah pegangan bebas yang sudah mempunyai geran individu atau strata tanpa sekatan misalnya boleh dijual kepada semua termasuk bukan bumiputera.

Proses jual beli hartanah pegangan bebas juga lebih pendek di mana ia boleh selesai dalam tempoh sekitar 90 hari bekerja selepas tarikh perjanjian jual beli ditandatangan.

Namun begitu, ada juga tanah pegangan bebas yang mempunyai sekatan.

Contohnya, sekatan penggunaan tanah yang terhad untuk kegunaan penanaman seperti sawit, getah dan lain-lain.

Sekatan juga ada apabila pemilik cuba menjual rumah kepada warga asing.

Selain itu, ada juga sesetengah tempat seperti di Negeri Sembilan yang masih memerlukan kebenaran pindah milik dibuat untuk hartanah pegangan bebas.

Jadi, jangan pukul rata. Yang terbaik sekali, semak geran terlebih dahulu di bahagian “Sekatan Kepentingan”.

Pajakan pula bermaksud tanah yang diberi itu ada had tempoh yang kebiasaannya diberikan selama 99 tahun.

Namun, tempoh 99 tahun itu bukanlah mutlak kerana terdapat kes yang lebih pendek sekitar 30 tahun dan 60 tahun.

Di Sabah dan Sarawak pula boleh jadi sehingga 999 tahun.

Selain itu, hartanah pajakan biasanya mempunyai sekatan kepentingan di dalam geran seperti tanah tidak boleh dipindah milik melainkan dengan kebenaran kerajaan negeri.

Sekiranya tempoh pajak sudah habis, secara teknikal anda sudah tidak boleh duduk di tanah tersebut kerana tanah itu bukan lagi milik anda tetapi ia menjadi milik kerajaan.

Namun, anda boleh memohon untuk memanjangkan tempoh leasehold yang sudah tamat.

Anda perlu membayar premium dan panjangkan tempoh itu kepada 99 tahun semula.

Namun begitu, keputusan untuk luluskan permohonan anda bergantung kepada tuan tanah.

Boleh jadi semasa anda mohon mereka ada perancangan lain.

Misalnya, mereka merancang untuk zon semula kawasan anda jadi tanah komersial.

Dalam situasi itu, permohonan kemungkinan akan ditolak.

Seterusnya, proses pinda milik hartanah pajakan adalah lebih rumit kerana tanah tersebut bujan hak mutlak pembeli jadi sebarang pindah milik perlu mendapatkan kebenaran dari kerajaan negeri.

Proses untuk mendapatkan kebenaran juga memakan masa sehingga sekitar tiga bulan.

Setelah kebenaran diperoleh, peguam perlukan tempoh 90 hari bekerja untuk membuat pindah milik. Jumlah masa yang diperlukan ialah sekitar tujuh bulan.

Oleh kerana pindah milik hartanah pajakan itu memerlukan kebenaran dari kerajaan negeri, tanah tersebut tertakluk kepada kawalan.

Antara polisinya adalah untuk mengekalkan pegangan bumiputera di sesuatu tempat.

Proses pindah milik tidak akan menjadi masalah sekiranya pemilik adalah bukan bumiputera dan pembeli juga bukan bumiputera.

Sebaliknya, jika pemilik adalah bumiputera dan pembeli adalah bukan bumiputera, besar kemungkinan permohonan pindah milik hartanah pajakan akan ditolak.

Hartanah berstatus pegangan bebas atau pajakan itu mungkin satu perkiraan yang menentukan potensi hartanah.

Pegangan bebas mempunyai kelebihan, tetapi ia tidak bermakna pajakan tidak berpotensi.

Namun, sekiranya anda merancang untuk mendiami sesebuah kawasan untuk jangka masa yang lama atau untuk mewarisi kediaman kepada anak cucu, mungkin kediaman pegangan bebas adalah pilihan yang terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya