PUTRAJAYA: Berita duka terus menyelebungi kem pasukan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) apabila salah seorang pendakinya, Muhammad Hawari Hashim, 33, dilaporkan hilang, pagi semalam.
Sebelum itu, Muhammad Hawari yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran telah pun berjaya menakluk punca Everest petang kelmarin.
Difahamkan, Muhammad Hawari kemudian dilaporkan hilang selepas turun dari puncak Everest dan berehat di kem empat.
Berita kehilangan Muhammad Hawari turut dilaporkan media tempatan Nepal, The Himalayan Times (THT) hari ini.
Pengarah di Pioneer Adventure Pvt Ltd, Nivesh Karki dilaporkan berkata, usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan terutama di semua kem pendakian lain.
Menurutnya, pihaknya difahamkan, Muhammad Hawari dilaporkan keluar dari kem empat secara bersendirian pada awal pagi tanpa pengetahuan malim gunung dan rakan pendakinya ME2023, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56.
“Ketika dilaporkan hilang, Awang Askandar sebelum itu berdepan masalah kesihatan akibat terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia tengah hari (waktu Malaysia) semalam.
Media semalam melaporkan Muhammad Hawari berjaya menawan puncak Everest (8,848 meter dari paras laut) kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin.
Bagaimanapun, Awang Askandar yang juga rakan pendaki Muhammad Hawari disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika misi menakluk Everest pada ketinggian 8,000 meter.
Setakat berita ini dilaporkan, wartawan belum lagi dapat menghubungi ketua misi ME2023, Azim Afif Ishak bagi mendapatkan perkembangan lanjut.
Malah, difahamkan usaha membawa turun mayat Awang Askandar juga dikatakan buntu ketika ini susulan insiden terbaharu menimpa kem pasukan pendaki itu. – UTUSAN