KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Mohd. Shuhaily mengambil alih tugas itu daripada Ketua Cawangan Khas Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mohd. Noor yang memangku jawatan itu sejak 8 Mei lalu.
Majlis serah terima tugas diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini dengan upacara disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Pada majlis sama, berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kuala Lumpur antara pemangku jawatan itu, Datin Nurhaidah Jamil dengan Datin Ennie Salina Roseli.
Ayob Khan dalam ucapannya berharap semua warga Polis Kuala Lumpur dapat memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Mohd. Shuhaily sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu.
“Peralihan pucuk pimpinan adalah satu proses yang amat penting dalam menjaga kesinambungan urus tadbir sesebuah jabatan.
“Proses itu penting bagi memastikan PDRM khususnya Polis Kuala Lumpur terus kekal revelan sebagai agensi yang utuh dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Shuhaily berkata, Kuala Lumpur sentiasa menjadi tumpuan ramai pihak dalam segala aspek termasuk keselamatan dan pembanterasan jenayah.
“Kalau Kuala Lumpur berjaya, maka berjayalah seluruh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini dan Bukit Aman juga mendapat gambaran yang baik.
“Maka saya sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur, itu adalah amanat daripada pihak Bukit Aman kepada saya dan saya akan laksanakan amanat ini. Itu adalah tanggungjawab saya,” katanya.
Tambahnya, beliau akan bekerja bersama-sama semua warga IPK Kuala Lumpur untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang selamat didiami dan dikunjungi bukan sahaja oleh masyarakat setempat malah pelancong luar negara. – UTUSAN