PETALING JAYA: Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamer aksi cemerlang untuk membantu Malaysia mara ke suku akhir Piala Sudirman selaku juara Kumpulan C selepas menumpaskan Taiwan 4-1 di Suzhou, China hari ini.
Turun dengan status sebagai pasangan ketiga negara, Tang Jie-Ee Wei menewaskan menundukkan beregu No. 1 Taiwan, Ye Hong-wei-Lee Chia-hsin 17-21, 21-19, 21-17 untuk memberi permulaan positif buat pasukan negara.
Biarpun tewas di set pertama dan ketinggalan 15-18 pada set kedua, Tang Jie-Ee Wei tidak berputus asa dan berjuang habis-habisan untuk memenangi perlawanan.
Ia juga penampilan pertama mereka dalam Piala Sudirman apabila menggantikan pasangan No. 1 negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang direhatkan selepas beraksi ketika menentang Australia (5-0) dan India (5-0).
“Ini Piala Sudirman pertama kami dan kami berazam untuk memberikan yang terbaik. Saya mesti berterima kasih kepada rakan saya Tang Jie atas permainan hebatnya. Kami sangat gembira untuk memberikan mata pertama untuk pasukan,” kata Ee Wei.
“Strategi kami berjaya hari ini,” tambah Tang Jie.
Seterusnya, Zii Jia menamatkan empat kekalahan berturut-turut menentang bekas pemain No. 1 dunia, Chou Tien-chen dengan melakar kemenangan 21-14, 23-21 untuk memberikan Malaysia mata kedua.
“Ia adalah membalas dendam selepas tewas menentangnya empat kali terakhir. Saya bermain dengan sabar dan mempunyai kawalan yang lebih baik. Saya bangga dengan diri sendiri kerana saya dapat memberikan satu mata kepada pasukan,” kata Zii Jia.
Begitupun, Goh Jin Wei nyata bukan tandingan pemain No. 3 dunia, Tai Tzu-ying apabila tewas mudah 8-21, 10-21 dalam saingan perseorangan wantia.
Pasangan No. 8 dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang diturunkan untuk menggantikan juara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagaimanapun mengesahkan kemenangan Malaysia dengan menewaskan Lu Ching-yao-Yang Po-han 21-8, 23-21.
Pearly Tan-M. Thinaah melengkapkan kemenangan 4-1 selepas mengalahkan Hsu Ya-ching-Teng chun-hsun 21-15, 19-21, 21-15.
Dalam undian yang akan diadakan lewat hari ini, lapan pasukan (dua teratas daripada setiap kumpulan) akan diundi secara rawak menentang satu sama lain dalam peringkat kalah mati lapan terakhir berdasarkan dua kriteria – pasukan daripada kumpulan yang sama tidak bermain antara satu sama lain, dan pemenang kumpulan bermain pasukan kedua terbaik kumpulan lain. – UTUSAN ONLINE