PHNOM PENH: Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) memohon maaf kepada Indonesia susulan kejadian bendera negara itu yang digunakan secara terbalik ketika upacara pembukaan Sukan SEA Kemboja semalam.
Susulan kejadian itu Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Indonesia telah menghantar surat penjelasan kepada CAMSOC dan selepas menyedari kesilapan tersebut, pihak tuan rumah telah meminta maaf kepada kontinjen Indonesia.
Setiausaha Agung NOC Indonesia, Harry Warganegara berkata, Kemboja telah memohon maaf kepada Indonesia atas kejadian bendera merah putih yang terbalik dan mereka juga bertindak cepat dan memastikan kejadian serupa tidak berulang.
“Kamboja sudah meminta maaf secara langsung kepada kami, dan bertindak cepat sehingga kejadian tersebut tidak berulang.
“NOC Indonesia juga secara rasmi meminta CAMSOC memasang bendera Indonesia dengan betul ketika upacara pembukaan Sukan SEA Kemboja di Stadion Morodok Techno National Stadium, Phnom Phen,” kata Harry.
Kesilapan bendera Indonesia terbalik itu berlaku ketika salah seorang penyanyi tempatan Kemboja membuat persembahan diiringi penari yang membawa bendera 11 negara yang menyertai Sukan SEA Kemboja termasuk Indonesia.
Ironinya, penari yang membawa bendera Indonesia semuanya terbalik, menjadi seperti bendera Poland.-UTUSAN ONLINE