DALAM ketidaktentuan ekonomi dan kos sara hidup tinggi ketika ini, individu yang memiliki simpanan bernilai RM50,000 boleh dianggap bertuah.
Mereka tidak perlu bergelut dengan desakan hidup kerana simpanan sedia ada mampu menjadi talian hayat jika berlaku kecemasan seperti kehilangan pekerjaan atau kemalangan.
Namun, lain pula bagi golongan penagih kerana jumlah wang yang sebanyak itu disia-siakan hanya untuk membeli najis dadah.
Razman Ali, 36, (bukan nama sebenar) berkata, angkara syabu atau methamphetamine, simpanan sebanyak RM50,000 yang dikumpul sepanjang lapan tahun bekerja, hangus dalam tempoh cukup singkat iaitu setahun.
Menurut bekas konsultan kewangan di Shah Alam, Selangor itu, kos berkenaan tidak termasuk RM2,000 sebulan daripada gajinya yang diperuntukkan untuk membeli dadah dengan jumlah keseluruhan dianggarkan mencecah RM192,000.
Pengiraan kasar yang dibuat, berkemungkinan anak jati Perak itu sudah melaburkan hampir RM300,000 sepanjang 17 tahun bergelumang dalam kancah penagihan.
Katanya, penglibatan dalam najis itu bermula sejak di tingkatan lima lagi kerana lokasi kediaman yang terletak di kawasan hitam penagihan dadah.
Ujarnya, aktiviti tersebut berterusan sehingga tamat Ijazah Sarjana Muda Pemasaran di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di ibu kota dan melangkah ke alam pekerjaan.
“Ketika itu tidak pernah sekali pun terfikir mahu bertaubat sebab kewangan kukuh dan mampu membeli bekalan dadah.
“Gaji pokok terakhir saya ialah RM4,500 dan bayangkan separuh daripadanya iaitu RM2,000 dihabiskan untuk syabu pada setiap bulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.
Razman berkata, kalangan rakan-rakan di pejabat tidak mengetahui tentang ketagihannya berikutan komitmen tinggi yang diberikan terhadap setiap tugasan.
Bagaimanapun, katanya, padah timbul apabila lama-kelamaan sering datang lewat ke pejabat hingga menjejaskan prestasi, lalu mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada 2021.
“Walaupun menganggur selama setahun, aktiviti menghisap masih diteruskan dan saya tidak kisah melaburkan keseluruhan duit simpanan sebanyak RM50,000 demi dadah,” ujarnya perlahan.
TINGGAL DADAH KERANA MAHU KAHWIN
Menurut Razman, hatinya terdetik untuk berubah apabila memutuskan untuk berumahtangga dan berkat sokongan tunang serta keluarga mendorongnya masuk ke Pengasih KL secara sukarela pada Disember 2021.
Bekas penagih tegar itu berkata, pengalaman kali pertama berada di pusat pemulihan memberi banyak keinsafan sekali gus bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.
“Saya terfikir bagaimana mahu berkahwin sebab satu sen duit pun sudah tiada dan sampai bila diri akan dibelenggu ketagihan.
“Tidak semena-mena hati terbuka untuk berubah dan Alhamdulillah, saya dapat berhenti daripada dadah, memperbetulkan semula kehidupan di samping merealisasikan impian berkahwin pada 11 Disember tahun lalu,” kongsinya.
Razman berkata, tempoh sebagai klien di Pengasih bakal berakhir dan akan memulakan kerjaya baharu sebagai pegawai kes di pusat pemulihan ditetapkan.
Nasihatnya, seseorang yang mahu bebas dadah perlu membuat penghijrahan secara total termasuk meninggalkan suasana dan rakan-rakan lama yang masih di kancah itu.
IBU BAPA KINI BOLEH TIDUR LENA
Seorang lagi bekas penagih, Aliff Aisar, 23 (bukan nama sebenar) dari Kelantan berkata, kemasukan ke Pengasih KL membolehkan ibu bapanya kini tidur lena setelah hampir 10 tahun dihantui kerisauan.
Menurut anak bongsu daripada tujuh beradik itu, sebelum ini keluarga sentiasa gelisah terutama apabila dia hilang pada waktu malam kerana bimbang ditangkap polis atau melakukan jenayah lain.
“Sebelum ini berbuih nasihat diberikan, tidak termasuk air mata mereka yang mengalir, malah turut merotan saya kerana mengambil dadah, tetapi akhirnya saya lega kerana emak dan ayah tahu saya sudah berubah sebelum mereka pergi selamanya,” katanya sebak.
Menceritakan peristiwa hitam itu, kata Aliff, di usia semuda 14 tahun dia sudah mencuba menghisap dadah jenis amphetamine dan methamphetamine kerana dikelilingi bapa saudara dan sepupu yang merupakan penagih.
Ujarnya, daripada sekadar cuba-cuba akhirnya membawa kepada ketagihan hingga enam kali dimasukkan ke pusat pemulihan sejak berumur 18 tahun selain terlibat dengan jenayah curi.
Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) itu berkata, hatinya terbuka untuk berubah sepanjang setahun menghuni pusat pemulihan berkenaan dan berazam untuk tinggal lebih lama dengan menyumbang bakti sebagai sukarelawan.
“Saya pernah berada di kedudukan paling bawah termasuk tidur di tepi jalan. Kakak serta abang pun sudah jemu dan mahu saya dipenjarakan selepas ditangkap polis dua tahun lalu.
“Tetapi saya berjanji kepada mereka saya akan berubah dan memilih masuk ke Pengasih KL sejak April tahun lalu hingga kini,” katanya.
USAH SISIH BEKAS PENAGIH
Bekas penagih sering disisihkan dan diabaikan masyarakat hingga tiada ruang untuk mereka memulakan kehidupan baharu.
Ziad Zainudin, 35, (bukan nama sebenar) berkata, stigma itu perlu dihapuskan kerana golongan sepertinya memerlukan sokongan ramai untuk hidup seperti manusia normal lain.
“Kami ada impian untuk bekerja dan memiliki keluarga sendiri, jadi saya harap masyarakat dapat memahami situasi bekas penagih apabila keluar dari pusat pemulihan.
“Betul, dahulu kami jahat, pernah mencuri dan bergaduh gara-gara dadah tetapi usah menghukum atas kesilapan dulu, berilah kami peluang untuk memulakan hidup baharu,” katanya.
Menurut Ziad, dia mula terlibat dengan dadah jenis pil kuda dan syabu sejak di tingkatan empat lagi didorong oleh perasaan mahu mencuba.
Anak jati Kelantan itu berkata, mencuri merupakan jalan paling pantas untuk penagih mendapatkan wang bagi membeli dadah dan dia tidak terkecuali melakukan kegiatan sama.
“Selain duit, banyak rantai dan cincin emas emak saya curi tetapi apabila ditanya, saya tidak pernah mengaku,” katanya.
ATS, NPS jadi pilihan profesional
Sementara itu, Timbalan Presiden Pengasih, Hafizi Harun mendedahkan makin ramai golongan profesional di negara ini dikesan mengambil dadah jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) dan bahan psikoaktif baharu atau New Psychoactive Substances (NPS).
Katanya, antara yang terjerat ialah doktor termasuk pakar bedah di samping peguam, juruterbang dan akauntan.
Jelasnya, penyalahgunaan dadah sintetik itu pada awalnya bertujuan untuk meningkatkan prestasi kerja, namun akhirnya bertukar menjadi ketagihan.
“Trend ini makin membimbangkan kerana kesan buruknya kepada kesihatan mental penagih.
“Berdasarkan rekod, kes kesihatan mental dalam kalangan klien Pengasih naik mendadak kepada 70 peratus dan tidak mustahil angka itu akan terus melonjak lagi,” katanya.
KES KEMBALI GUNA DADAH NAIK SELEPAS AIDILFITRI
Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang (MASAC) menjangkakan kes kembali mengguna dadah dalam kalangan bekas penagih, melonjak sebanyak 20 peratus selepas Aidilfitri.
Setiausaha Agungnya, Raja Azizan Suhaimi berkata, peningkatan itu didorong oleh kepulangan bekas penagih ke kampung halaman untuk meraikan Syawal dan bertemu semula dengan rakan-rakan lama yang terlibat dalam penyalahgunaan barang terlarang itu.
Katanya, rata-rata bekas penagih yang belum pulih sepenuhnya itu pasti mempunyai rasa rindu yang mendalam terhadap dadah.
Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab setiap ahli keluarga untuk memantau pergerakan bekas penagih bagi mengelakkan golongan tersebut kembali menggunakan dadah apabila kembali dalam komuniti mahupun ketika sunyi atau terpinggir.
“Dalam kemeriahan Aidilfitri, jualan dadah harga lelong turut rancak sekali gus membuka ruang buat penagih yang belum pulih untuk kembali terjebak.
“Bekas penagih dadah akan mudah lupa sakit di penjara dan pusat pemulihan apabila kembali bersama rakan-rakan lama, justeru mereka sentiasa memerlukan sokongan berterusan daripada keluarga semasa musim perayaan ini,” katanya.
MASAC yang merupakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara mempunyai puluhan ribu alumni bekas penagih.
Dalam perkembangan sama, Raja Azizan berkata, pihaknya kini di peringkat kajian untuk menyatukan lebih banyak pusat rawatan pemulihan dadah berasaskan pendekatan Islam agar modul digunakan bersepadu dan tidak melanggar hukum Syariah yang digariskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). –UTUSAN