ALOR SETAR: Selepas hampir tiga minggu berehat, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menyambung perjalanan Liga Super dengan mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas Kelantan FC di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Kemenangan kelapan Sang Kenari dalam saingan liga terhasil menerusi jaringan lima pemain berbeza termasuk kapten pasukan, Manuel Ott serta Lee Tuck; Manuel Hidalgo; Willian Lira dan Jonathan Balotelli.
Kedua-dua pasukan bermula hambar apabia masing-masing kelihatan seakan buntu untuk membina serangan dalam tempoh 15 minit pertama sebaik pengadil, Razlan Joffri Ali meniup wisel permulaan.
Bagaimanapun pada minit ke-16, sorakan penyokong KDA bergema apabila Ott berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan The Red Warriors sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk gol pertama KDA.
Usaha pasukan tuan rumah menambah jaringan diteruskan, namun percubaan Hidalgo sekadar singgah di tiang gol pelawat pada minit ke-22.
Gol kedua dicari akhirnya hadir lima minit kemudian apabila Hidalgo menggunakan kelincahannya untuk melepasi kawalan beberapa pemain lawan sebelum membuat hantaran tepat kepada Lee Tuck di sebelah kiri padang.
Pemain naturalisasi negara itu yang berada dalam keadaan selesa tidak menunggu lama untuk membuat rembatan dari luar kotak penalti menggunakan kaki kanan untuk mengubah kedudukan menjadi 2-0 menyebelahi Sang Kenari.
Hanya dua minit selepas babak kedua bersambung, KDA menyumbat gol ketiga perlawanan apabila Hidalgo yang tidak dikawal dalam kotak penalti melepaskan rembatan leret bagi menewaskan penjaga gol Kelantan FC, Nik Mohd. Amin Ahmad.
Keghairahan tuan rumah menambah jaringan tidak terhenti di situ apabila sepakan percuma diambil pemain import dari Tajikistan, Amirbek Juraboev dari jarak kira-kira 30 meter hampir menerjah ke gawang pelawat.
Namun, Nik Mohd. Amin lebih bersedia apabila berada di kedudukan tepat untuk menumbuk keluar bola tersebut bagi menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.
Minit ke-59, Sang Kenari dihadiahkan sepakan penalti apabila pemain tengah pasukan pelawat, Muhammad Afzal Akbar dikesan menggunakan tangan dalam usahanya mengawal kemaraan pemain muda KDA FC, Muhamad Kamil Akmal.
Lira yang diamanahkan untuk mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang apabila mudah memperdaya Nik Mohd. Amin melalui sepakan leret untuk gol keempat tuan rumah.
Minit ke-88, KDA menoktahkan kemenangan 5-0 Balotelli yang masuk sebagai pemain gantian berjaya melepasi perangkap offside sebelum menewaskan penjaga gol Kelantan ketika mereka berdepan kedudukan satu sama satu. –UTUSAN